comscore
Tumpuan :
Mahkamah

Penganggur mengaku tidak bersalah laku amang seksual terhadap anak kandung 

Foto hiasan

KOTA BHARU: Seorang penganggur didakwa di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas dakwaan melakukan amang seksual fizikal terhadap anak kandung perempuan berusia tujuh tahun, 23 Jun lalu.

Walau bagaimanapun tertuduh yang berusia 41 tahun mengaku tidak bersalah atas pertuduhan yang dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim Zulkifli Abllah.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa melakukan amang seksual fizikal terhadap anak kandung perempuan berusia tujuh tahun yang mana lelaki itu mempunyai hubungan amanah dengan kanak-kanak itu.

Perbuatan itu dilakukan di sebuah rumah di Kedai Lalat di sini, lebih kurang 1 hingga 2 petang, pada 23 Jun lalu.

Kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 14 (d) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2016 (Akta 792) dibaca bersama Seksyen 16(1) akta yang sama.

Hukuman Seksyen 14 Akta 792 memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih 20 tahun dan boleh dikenakan sebat.

Bagi hukuman Seksyen 16 (1) Akta 792, jika seseorang yang melakukan mana-mana kesalahan mengikut akta ini terhadap kanak-kanak, mempunyai hubungan amanah, sebagai tambahan hukuman, tertuduh boleh dihukum penjara tidak lebih lima tahun dan juga tidak kurang dua sebatan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Siti Edabayu Subhan, manakala tertuduh diwakili peguam bela, Rosmizan Sulaiman.

Terdahulu, Siti Edabayu tidak mencadangkan sebarang jaminan kepada tertuduh kerana kesalahan itu serius dan membabitkan hubungan amanah iaitu bapa serta anak.

Rosmizan memohon supaya mahkamah membenarkan anak guamnya dibenarkan jaminan dengan jumlah minimum kerana lelaki itu tidak bekerja dan mempunyai isteri serta dua anak.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM12,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 4 Ogos depan sebagai sebutan semula kes.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini