BATU PAHAT: Seorang penganggur menjadi individu pertama di negara ini, yang didakwa dan disabitkan kesalahan atas tuduhan menjadi keldai akaun, membabitkan transaksi wang berjumlah RM525,000 kepada sindiket penipuan atau scammer.
Tertuduh, Marchell Jeff Lee Sin Ket, 38, didakwa terbabit secara tidak langsung dalam transaksi kemasukan wang berkenaan ke dalam akaunnya mengikut Seksyen 424C (1) Kanun Keseksaan.
Dia didakwa melakukan perbuatan itu di Taman Puteri Indah, Tongkang Pechah, di sini antara 8 hingga 13 Julai tahun lalu, sabit kesalahan boleh didenda sehingga RM150,000 atau penjara sehingga 10 tahun atau kedua-duanya sekali.
Tertuduh mengaku bersalah sebaik pertuduhan dikemukakan terhadapnya di hadapan Majistret, Nurasidah A Rahman.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Sharifah Natasha Syed Ahmad manakala tertuduh diwakili Haryanti Othman daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK).
Berdasarkan fakta kes, seorang lelaki membuat laporan polis selepas menjadi mangsa penipuan skim pelaburan yang tidak wujud di media sosial.
Dalam kes itu, pengadu mendakwa kerugian RM823,000 selepas menyertai pelaburan yang menjanjikan pulangan keuntungan sehingga 10 peratus.
Bertindak atas laporan dibuat, polis menjalankan siasatan dan berjaya menahan tertuduh di Kuala Lumpur dan siasatan juga mendapati akaun terbabit didaftarkan atas namanya.
Siasatan polis mendapati sejak 8 November hingga 13 Disember lalu, sebanyak 10 transaksi kemasukan wang dalam dua akaun tertuduh yang mana dipercayai ada kaitan dengan kegiatan penipuan.
Tertuduh didapati membenarkan seorang lelaki tidak dikenali menggunakan akaunnya bagi tujuan menipu melalui pelaburan.
Terdahulu, pihak pendakwaan dalam hujahan pemberatan memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal memandang tertuduh individu pertama disabitkan dengan kesalahan melalui peruntukan baru ini.
“Hukuman berat wajar dikenakan bukan sahaja terhadap tertuduh malah individu lain agar tidak sewenang-wenangnya membenarkan pihak tidak dikenali menggunakan akaun,” hujahnya.
Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman denda RM10,000 serta memerintahkan tertuduh dipenjara tiga tahun jika gagal membayarnya.
Sehingga denda itu dilunaskan, tertuduh ditahan di dalam penjara.
Pada Julai tahun lalu, Dewan Rakyat meluluskan RUU Kanun Keseksaan (Pindaan) 2024 bertujuan mewujudkan peruntukan bagi kesalahan membabitkan kaedah pembayaran atau akaun di institusi kewangan.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.