KUALA LUMPUR: Seorang lelaki didakwa di Mahkamah Majistret, di sini hari ini, atas dua pertuduhan membunuh ibu bapanya, di Kampung Sungai Penchala Jalan Penchala Hilir 6, Sabtu lalu.
Afendi Muhammad Agus@Muhamed Ali, 42, yang tidak bekerja, mengangguk tanda faham selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret, Wong Chai Sia.
Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan kerana kes itu berada bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.
Mengikut kedua-dua pertuduhan, tertuduh didakwa membunuh dengan menyebabkan kematian ke atas pesara Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), Muhammad Agus@Muhamed Ali Omar, 82 dan suri rumah, Darlisma Njatu Saleh, 72.
Perbuatan didakwa dilakukan di rumah mangsa, di Kampung Sungai Penchala Jalan Penchala Hilir 6, di sini pada jam 7.10 dan 7.20 malam, 9 Disember lalu.
Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati jika sabit kesalahan.
Seorang lelaki didakwa di Mahkamah Majistret, hari ini, atas dua pertuduhan membunuh ibu bapanya, di Kampung Sungai Penchala Jalan Penchala Hilir 6, Sabtu lalu. pic.twitter.com/EzxZ0o7LCp
— Buletin TV3 (@BuletinTV3) December 15, 2023
Tiada jaminan diberikan dan mahkamah menetapkan 31 Januari tahun depan untuk sebutan semula kes.
Sabtu lepas, sepasang suami isteri warga emas berusia 72 dan 82 tahun ditemui mati di ruang tamu kediaman mereka, dipercayai dibunuh anak lelaki mereka di Kampung Sungai Penchala, di sini dengan beberapa kesan tikaman pada tubuh.
Suspek kemudiannya ditahan dan hasil siasatan mendapati dia mempunyai sembilan rekod jenayah.
Ujian saringan air kencing menunjukkan dia positif dadah jenis amphetamine, methamphetamine dan morfin.