MUAR: Seorang penganggur dituduh merogol pelajar perempuan yang juga anak yatim piatu di sebuah rumah di Batu Pahat, minggu lalu.
Penganggur Muhammad Farid Tamyez, 19, sebelum itu mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen, di sini, hari ini selepas pertuduhan dibaca oleh jurubahasa di hadapan Hakim Sayani Mohd Nor.
Mengikut pertuduhan, dia didakwa merogol mangsa berusia 15 tahun di sebuah rumah di Batu Pahat, pada 9 pagi, 20 November lalu.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 376 (1) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan juga sebatan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Diyana Najihah Muhamed Fauzi, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM8,000 dengan seorang penjamin dan kes akan disebut semula pada 24 Disember depan.
Pada masa sama, mahkamah menetapkan syarat agar tertuduh melapor diri di balai polis berhampiran setiap bulan serta tidak mendekati atau mengganggu mangsa sepanjang prosiding.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.