KUALA LUMPUR: Seorang penganggur dihukum penjara enam tahun oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini selepas mengaku bersalah membakar sebuah kereta milik seorang wanita, dua bulan lepas.
Hakim Norina Zainol Abidin menjatuhkan hukuman itu terhadap T. Gunasegaran, 39, dan memerintahkannya menjalani hukuman penjara bermula hari ini.
Tertuduh didakwa melakukan khianat dengan membakar kereta milik Manjeetpal Kaur, 37, yang bernilai RM43,000 di hadapan blok sebuah pangsapuri di Cheras di sini pada 3.40 petang, 11 April lepas dan dituduh mengikut Seksyen 435 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 14 tahun dan denda.
Mengikut fakta kes, semasa pengadu (Manjeetpal) berada di dalam rumahnya di tingkat lima, beliau telah diberitahu oleh anak jirannya bahawa seorang lelaki sedang memecah cermin kereta miliknya yang diletakkan di tepi jalan hadapan blok pangsapuri tersebut.
Apabila wanita itu keluar dari rumah, beliau melihat tertuduh yang berdiri di hadapan pintu bahagian pemandu yang terbuka sedang berbuat sesuatu dan melihat asap keluar daripada keretanya.
Suami pengadu kemudian turun ke bawah dan cuba memadam kebakaran namun dihalang tertuduh sehingga menyebabkan beberapa orang awam datang meleraikan keadaan dan menangkap tertuduh, manakala kereta yang terbakar itu berjaya dipadamkan.
Tertuduh ditangkap pihak polis dan sebilah pisau serta pemetik api turut dirampas daripadanya.
Hasil siasatan mendapati tertuduh sengaja membakar kereta milik pengadu.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Ngoh Jess Lynn memohon hukuman setimpal sebagai pengajaran kepada tertuduh kerana kesalahan itu serius dan mendatangkan kerugian kepada mangsa.
Gunasegaran yang tidak diwakili peguam memohon denda minimum atas alasan dia tidak bekerja dan menjaga ibunya yang uzur. — BERNAMA
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.