Tumpuan :
Mahkamah

Penganggur didakwa kes bunuh penyanyi sambilan

Hong Yew Peng didakwa di Mahkamah Majistret Ayer Keroh, hari ini atas tuduhan membunuh penyanyi sambilan, bulan lalu. FOTO: NSTP

MELAKA: Penganggur dituduh di Mahkamah Majistret Ayer Keroh, hari ini atas pertuduhan membunuh penyanyi sambilan yang juga rakan sebiliknya di rumah sewa mereka di Taman Sri Mangga, bulan lalu.

Bagaimanapun tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh, Hong Yew Peng, 54, yang berada dalam kandang pesalah ketika keadaan tangan kirinya bersimen.

Terdahulu, jurubahasa terpaksa membaca dan menerangkan pertuduhan dalam bahasa Melayu sebanyak dua kali berikutan tertuduh menyatakan dia tidak faham.

Malah Majistret Nur Afiqah Radhiah Zainurin turut menyoal tertuduh dan mengarahkan pertuduhan dibaca semula bagi memastikan lelaki itu memahami pertuduhan dihadapinya.

Berdasarkan pertuduhan Yew Peng didakwa dengan niat menyebabkan kecederaan tubuh badan sehingga mendatangkan kematian terhadap seorang wanita, Ling Lu Cheng, 52.

Perbuatan itu didakwa dilakukan tertuduh di No 64 Jalan Sri Mangga 1/8, Taman Sri Mangga, Seksyen 1 dalam daerah Melaka Tengah pada 22 Februari lalu, antara 1.30 pagi hingga 3.30 pagi.

Dia dituduh mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan, jika disabitkan kesalahan hendaklah dihukum mati atau penjara minimum 30 tahun dan maksimum 40 tahun dan sekiranya tidak dihukum mati, hendaklah disebat tidak kurang 12 kali sebatan.

Timbalan Pendakwa Raya, Hanis Aliyah Ahmad Kamarulnajuib tidak menawarkan jaminan terhadap tertuduh dan memohon tarikh baharu ditetapkan untuk serahan laporan kimia serta bedah siasat mangsa.

Mahkamah tidak membenarkan tertuduh diikat jamin dan menetapkan 21 April depan untuk sebutan semula kes.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini