Tumpuan :
Mahkamah

Pengait sawit dipenjara 5 tahun kerana cabul pelajar

Pengait sawit, Mohd Sanif dipenjara lima tahun selepas mengaku cabul pelajar di gelanggang bola keranjang. FOTO: NSTP

MUAR: Seorang pengait sawit dijatuhi hukuman penjara lima tahun oleh Mahkamah Sesyen di sini, atas kesalahan amang seksual terhadap pelajar, minggu lalu.

Tertuduh, Mohd Sanif Hashim, 56, sebelum itu mengaku bersalah terhadap pertuduhan yang dikemukakan di hadapan Hakim Sayani Mohd Nor.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa melakukan amang seksual terhadap pelajar berusia 14 tahun di sebuah gelanggang bola keranjang di Batu Pahat antara jam 5.48 hingga 6 petang, 21 Januari lalu.

Berikutan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak (AKKSTKK) 2017, penjara sehingga 20 tahun dan juga sebatan, jika sabit kesalahan.

Berdasarkan fakta kes, sebelum kejadian mangsa bersama dua adiknya ke gelanggang untuk bermain bola keranjang.

Namun, mangsa hanya memerhati dua adiknya dari tempat duduk.

Tidak lama kemudian, tertuduh yang juga bapa kepada empat anak itu menghampiri serta duduk di sebelah mangsa lalu melakukan perbuatan berkenaan sebelum beredar.

Mangsa yang ketakutan pulang ke rumah menceritakan kejadian itu kepada ahli keluarganya.

Pada jam 8.30 malam, polis menahan tertuduh susulan laporan dibuat oleh mangsa pada hari kejadian.

Mahkamah turut memerintahkan tertuduh menjalani pengawasan polis selama setahun sebaik selesai hukuman.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini