Tumpuan :
Mahkamah

Penerbit rancangan hadapi satu lagi tuduhan rasuah

KUALA LUMPUR: Seorang ketua penolong pengarah sebuah stesen televisyen didakwa di Mahkamah Sesyen atas tuduhan menerima wang RM18,000 daripada seorang wanita, empat tahun lalu.

Suhaila Md Zaini, 44, yang juga Penerbit Rancangan Seksyen Berita Radio, Bahagian Berita Ehwal Semasa Radio Televisyen Malaysia (RTM) bagaimanapun, memohon dibicarakan.

Mengikut pertuduhan, Suhaila didakwa menerima wang itu daripada wanita berusia 41 tahun, yang mana tertuduh mengetahui ada kaitan dengan tugas rasminya sebagai penerbit rancangan RTM.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di pejabat Timbalan Pengarah Seksyen Berita Radio, Bahagian Berita Ehwal Semasa di Tingkat 6, Wisma TV, Angkasapuri, antara 17 April dan 5 Jun 2019.

Dakwaan mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya, Muaz Ahmad Khairuddin, memohon mahkamah mengenakan jaminan RM7,000, selain syarat tambahan penyerahan pasport dan melaporkan diri di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) seperti ditetapkan Mahkamah Sesyen Shah Alam, sebelum ini.

Muaz berkata, tertuduh didakwa di Mahkamah Sesyen Shah Alam pada 14 November lalu dan memohon  untuk kes dipindahkan ke mahkamah terbabit untuk dibicarakan bersama.

Peguam bela tertuduh, Gurmit Singh Hullon, tidak membantah permohonan pihak pendakwaan.

Hakim Rozina Ayob kemudian membenarkan permohonan pendakwaan dan memaklumkan tarikh sebutan semula kes akan ditetapkan Mahkamah Sesyen Shah Alam.

Pada 14 November lalu, Suhaila mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Shah Alam atas tuduhan menerima suapan berjumlah RM10,000.

Loading...
Terkini