ALOR SETAR: Seorang lelaki direman empat hari bermula hari ini untuk membantu siasatan penemuan bayi perempuan yang baru dilahirkan di tepi jalan berhampiran ladang getah Kampung Datuk Syed Ahmad di Pendang, Jumaat lalu.
Perintah tahanan reman terhadap lelaki berusia 20-an itu, dikeluarkan oleh Majistret Siti Norhidayah Mohd Noor di pejabat lokap mahkamah, hari ini.
Terdahulu, lelaki yang bekerja sebagai tukang gunting rambut tiba di lokap mahkamah pada jam 8.41 pagi dengan menaiki kenderaan polis.
Media sebelum ini melaporkan penemuan seorang bayi perempuan bertali pusat dan uri di tepi jalan Jumaat lalu.
Ketua Polis Daerah Pendang, Superitenden Arriz Sham Hamezah memaklumkan, pihaknya menerima maklumat penemuan bayi jam 7.05 petang.
Bayi itu dipercayai baru ditinggalkan di kawasan itu dengan dibalut kain batik serta tuala diletakkan dalam bakul.
Berikutan itu, polis menahan dua individu terdiri daripada seorang lelaki dan seorang wanita yang dipercayai ibu bayi berkenaan di Sik, semalam.
Sementara itu , Arriz Sham ketika dihubungi memaklumkan, ibu bayi berkenaan yang juga berusia 20-an, dibebaskan dengan jaminan polis kerana keadaan kesihatannya yang baru lepas bersalin.