Pihak pendakwaan memfailkan bantahan awal terhadap rayuan Datuk Seri Bung Moktar Radin dan isteri, Datin Seri Zizie Izette Abdul Samad berhubung keputusan mahkamah yang memerintahkan mereka membela diri atas tiga pertuduhan rasuah.
Timbalan Pendakwa Raya, Law Chin How berkata, notis bantahan awal itu difailkan di Mahkamah Rayuan pada 7 Mac lalu.
Berdasarkan notis tersebut, bantahan awal dibuat atas alasan keputusan Mahkamah Tinggi bukan suatu keputusan yang boleh dirayu mengikut Seksyen 50 Akta Mahkamah Kehakiman 1964.
Pada 9 Disember 2022, Bung Moktar dan isterinya gagal dalam permohonan untuk menyemak keputusan Mahkamah Sesyen yang memerintahkan mereka membela diri atas pertuduhan itu setelah Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Azhar Abdul Hamid membenarkan bantahan awal pihak pendakwaan terhadap permohonan tersebut.
Sementara itu, Law berkata pengurusan kes bagi rayuan Bung Moktar dan isterinya itu ditetapkan pada 22 Mei di hadapan Timbalan Pendaftar Mahkamah Rayuan Mohd Khairi Haron.
Menurut Law prosiding bela diri kedua-dua tertuduh sebelum ini ditetapkan pada 15 Jun di Mahkamah Sesyen di sini.
Pada 3 Mei 2019, Bung Moktar didakwa atas dua pertuduhan menerima rasuah sebanyak RM2.2 juta dan RM262,500 sebagai dorongan mendapatkan kelulusan FELCRA untuk membuat pelaburan RM150 juta dalam unit amanah Public Mutual.
Beliau didakwa menerima rasuah daripada ejen Public Mutual iaitu Madhi Abdul Hamid menerusi Zizie Izette di Public Bank Cawangan Taman Melawati di sini antara 12.30 tengah hari dan 5 petang, 12 Jun 2015.
Beliau juga didakwa menerima wang tunai RM337,500 daripada perunding Unit Amanah, Norhaili Ahmad Mokhtar, di bawah nama Zizie Izette atas sebab dan di tempat sama pada 19 Jun 2015 manakala Zizie Izette berdepan tiga pertuduhan bersubahat dengan suaminya berhubung perkara itu di tempat, tarikh dan masa yang sama. – BERNAMA