Tumpuan :
Mahkamah

Penarik kereta didakwa miliki sepucuk pistol dan 40 biji peluru tanpa lesen

Oleh: Mohd Ishak Abdillah Ngah

KUALA TERENGGANU: Seorang penarik kereta mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu hari ini atas dua pertuduhan iaitu memiliki senjata api dan 40 biji peluru tanpa lesen.

Tertuduh, Wan Khairul Hazrimie Wan Azuan, 41 tahun, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibaca di hadapan hakim Ahmad Fadhli Mahmud

Mengikut pertuduhan , tertuduh didakwa memiliki sepucuk pistol jenis Baretta bersama 40 biji peluru hidup tanpa lesen yang sah.

Kesemua barangan kes ditemui di dalam kereta yang dipandu tertuduh dalam satu sekatan jalan raya di Jalan Bukit Jong, di Kuala Terengganu pada jam 10.30 malam, 4 Oktober lalu.

Bagi kesalahan memiliki senjata api tanpa lesen yang sah tertuduh didakwa mengikut Seksyen 8 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971.

Sabit kesalahan membawa hukuman penjara maksimum 14 tahun dan tidak kurang enam sebatan.

Tertuduh juga didakwa mengikut Seksyen 8 (a) Akta Senjata 1960 kerana memiliki 40 biji peluru hidup tanpa lesen yang sah .

Sabit kesalahan tertuduh boleh dipenjara sehingga tujuh tahun atau denda tidak lebih RM10,000 atau kedua-duanya sekali.

Mahkamah menetapkan 21 November depan sebagai tarikh sebutan semula kes.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini