Tumpuan :
Mahkamah

Pemuda dihukum gantung sampai mati kerana membunuh

IPOH: Seorang lelaki yang sebelum ini dilaporkan membunuh serta tidur bersama mayat rakannya selama seminggu, lima tahun lalu dihukum gantung sampai mati oleh Mahkamah Tinggi Ipoh, hari ini.

Mohd Azhud Ibrahim, 33, yang hadir ke mahkamah memakai seluar jeans dan baju sejuk berwarna hitam, kelihatan tenang semasa hukuman terhadapnya itu dibacakan Hakim Datuk Abdul Wahab Mohamed.

Abdul Wahab membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan.

Dalam penghakimannya, Abdul Wahab berkata, mahkamah mendapati bahawa penceritaan tertuduh melalui keterangan tanpa sumpah tidak bersifat pembelaan yang kredibel kerana berbentuk penafian semata-mata bersifat ‘bare denial’ dan ‘afterthought’.

“Ketulenan dan kesahihan cerita tertuduh adalah diragukan apatah lagi bagi mencabar kes pendakwaan yang kuat,” katanya.

Dakwaan tertuduh yang dia memukul si mati untuk halang diri dipukul dan mempertahankan diri, namun daripada laporan tangkapan, tiada keterangan menunjukkan tertuduh mengalami kecederaan.

Katanya lagi, penemuan sebatang cangkul di atas tanah berdekatan dengan lubang yang digali di belakang rumah tertuduh adalah konsisten dengan keterangan lelaki itu.

Berdasarkan pertuduhan, Mohd Azhud yang ketika itu berusia 28 tahun melakukan bunuh terhadap Ahmad Azam Ahmad, 43, dengan cara memukul menggunakan sebatang buluh dan sebatang tebu serta memijak sehingga mengakibatkan kematian.

Perbuatan itu dilakukannya di alamat No 2A Lorong Mohd. Ali Kampung Bahagia, Teluk Intan pada jam 10 malam hingga 8 pagi pada 10 Ogos 2018.

Pertuduhan terhadapnya dikemukakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Mohd Fitri Sadarudin manakala tertuduh diwakili peguam, Gurbachan Singh.

Pada 21 April tahun lalu, media melaporkan Mahkamah Tinggi di sini memerintahkan tertuduh membela diri atas tuduhan jenayah itu.- BERITA HARIAN

Loading...
Terkini