Tumpuan :
Mahkamah

Pempengaruh warga Singapura mengaku salah buat laporan palsu

Seorang pempengaruh warga Singapura, Amyra Laila Ho, 45, didenda RM1,000 oleh Mahkamah Majistret Johor Bahru atas tuduhan membuat laporan palsu, minggu lalu. – FOTO: NSTP

JOHOR BAHRU: Seorang wanita yang juga pempengaruh warga Singapura didenda RM1,000 oleh Mahkamah Majistret hari ini atas tuduhan membuat laporan palsu, minggu lalu.

Majistret Hidayatul Syuhada Shamsudin menjatuhkan hukuman itu ke atas Amyra Laila Ho, 45, selepas dia mengaku bersalah sebaik pertuduhan dibacakan terhadapnya dalam Bahasa Inggeris.

Berdasarkan kertas pertuduhan, wanita itu didakwa memberi maklumat palsu kepada seorang anggota polis Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Selatan (JBS) di Balai Polis Larkin di sini, pada jam 1.02 pagi, 22 Januari lalu.

Bagi perbuatan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 182 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum enam bulan atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Nur Fatihah Mohd Nizam memohon hukuman setimpal ke atas tertuduh sebagai satu bentuk pengajaran.

Tertuduh yang tidak diwakili peguam memohon hukuman yang ringan.

Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman itu dengan turut memerintahkan tertuduh dipenjara tiga minggu, jika gagal membayar denda berkenaan, bagaimanapun difahamkan tertuduh sudah menjelaskan bayaran denda itu.

Mengikut fakta kes, tertuduh membuat laporan polis dengan mendakwa pada 10 Januari lalu, jam 1 tengah hari ketika berada di bahagian belakang sebuah pusat beli-belah di Taman Abad di sini, dia didatangi seorang lelaki dan wanita berbangsa Cina yang mempromosikan minuman teh Cina kepadanya.

Dia mendakwa telah menolak permintaan itu, namun wanita berkenaan dikatakan mengarahkannya untuk menghidu minuman itu, kemudian mendakwa selepas menghidu, dia berasa kebas dan kepala menjadi pening.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini