Tumpuan :
Mahkamah

Pemilik syarikat tidak mengaku salah kemuka butir matan palsu bernilai RM39,692

Seorang pemilik syarikat, K Madervan, 59, diiringi anggota Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Mahkamah Butterworth. FOTO NSTP

BUTTERWORTH: Seorang pemilik syarikat dihadapkan ke Mahkamah Sesyen, di sini, hari ini atas empat pertuduhan mengemukakan dokumen geran latihan mengandungi butir matan palsu bernilai RM39,692 kepada ejen Human Resource Development Corporation (HRDCorp), empat tahun lalu.

Tertuduh, K Madervan, 59, bagaimanapun mengaku tidak bersalah terhadap kesemua pertuduhan yang dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Zulhazmi Abdullah.

Mengikut pertuduhan, tertuduh selaku pemilik Syarikat MK Talent Development and Management Consultancy telah memberikan suatu dokumen iaitu geran latihan pekerja berjumlah RM39,692 kepada beberapa ejen HRDCorp dengan niat untuk memperdayakan prinsipalnya sedangkan latihan itu tidak dilaksanakan.

Kesalahan berkenaan didakwa dilakukan di pejabat syarikatnya di Taman Bukit Kechil, Bukit Mertajam dalam daerah Seberang Perai Tengah, dekat sini pada 16 dan 27 Jun 2021.

Pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum dibawah Seksyen 24(2) akta sama.

Jika sabit kesalahan, tertuduh berdepan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali nilai butiran palsu atau RM10,000 mengikut mana-mana nilai lebih tinggi.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Muaz Ahmad Khairuddin manakala tertuduh diwakili peguam, Ashok Atimulan.

Semasa prosiding, pihak pendakwaan menawarkan jaminan RM30,000 namun peguam tertuduh merayu jaminan minimum dengan alasan anak guamnya yang kini hanya tutor sambilan dengan pendapatan RM2,000 sebulan mempunyai tanggungan anak di universiti.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM20,000 dan meminta menyerahkan pasport kepada mahkamah serta melapor diri di pejabat SPRM berhampiran kediaman setiap bulan, sebagai syarat tambahan yang perlu dipatuhi.

Kes akan disebut semula pada 18 April depan.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini