comscore
Tumpuan :
Mahkamah

Pemilik syarikat didakwa kemuka dokumen palsu program Penjaya Kerjaya

Oleh: Mohd Ishak Abdillah Ngah 

KUALA TERENGGANU: Pemilik dan penyelaras sebuah syarikat dihadapkan ke Mahkamah Sesyen atas tiga tuduhan mengemukakan dokumen palsu menerusi program Penjana Kerjaya, dua tahun lalu, di sini hari ini.

Arrie Syahiman Mohd. Zain, 33 tahun dan Nurul Azwani Mohd. Razali, 37 tahun, bagaimanapun mengaku tidak bersalah termasuk terhadap pertuduhan pilihan di hadapan Hakim Norashima Khalid.

Berdasarkan pertuduhan, tertuduh didakwa mengemukakan borang pengesahan pekerja program pengambilan insentif pekerja bagi menuntut insentif keseluruhan RM126,100 melalui seorang ejen.

Tertuduh mempunyai kepentingan dengan dokumen itu yang mengandungi butir matan palsu iaitu senarai pekerja sedangkan sebahagian penama bukan kakitangan syarikatnya.

Kedua-dua tertuduh didakwa mengemukakan tiga dokumen tuntutan palsu bagi mengelirukan prinsipalnya masing-masing berjumlah RM81,800, RM39,000 dan RM5,300.

Kesalahan itu didakwa dilakukan pada 7 dan 29 Jun 2021 serta 5 Julai 2021 di Pejabat Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) di daerah Kuala Terengganu.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24(2) akta yang sama.

Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dihukum penjara tidak lebih 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai butir palsu, jika butir palsu itu dapat dinilai atau RM10,000, mengikut mana lebih tinggi.

Mahkamah membenarkan kedua-kedua tertuduh diikat jamin RM15,000 setiap seorang dengan seorang penjamin dan dikenakan syarat tambahan melapor diri di pejabat SPRM terdekat setiap bulan.

Hakim kemudian menetapkan 28 November ini sebagai tarikh sebutan semula bagi pengurusan kes.

Prosiding pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Mariah Omar dan Nurul Azwani diwakili Mohd. Hayyatuddin Muhamad manakala Arrie Syahiman tidak diwakili peguam.

Loading...
Terkini