comscore
Tumpuan :
Mahkamah

Pemilik restoran nasi kandar mengaku salah `suap’ pegawai Imigresen RM10,000

Rezaul Shajahan Ali dikawal anggota polis ketika dibawa ke Mahkamah Majistret Ipoh, hari ini. – FOTO: NSTP

IPOH: Seorang pemilik restoran nasi kandar didenda RM30,000 oleh Mahkamah Sesyen, di sini hari ini selepas mengaku salah memberi rasuah RM10,000 kepada pegawai Jabatan Imigresen.

Rezaul Shajahan Ali, 37, warga Bangladesh, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan pilihan dibacakan di hadapan Hakim Datuk Ibrahim Osman yang turut memerintahkan lelaki itu dipenjara tiga bulan jika gagal membayar denda terbabit.

Selain itu, mahkamah turut menetapkan wang rasuah RM10,000 itu dilucut hak kepada kerajaan Malaysia.

Berdasarkan pertuduhan pilihan, lelaki itu didakwa memberi suapan RM10,000 kepada pegawai Imigresen di Pejabat Jabatan Imigresen Malaysia Perak di Kompleks Kementerian Dalam Negeri, Persiaran Meru Utama, di sini, pada jam 3.30 petang, 12 September lalu.

Suapan itu sebagai balasan untuk tidak mengambil tindakan undang-undang terhadap 13 pekerja tertuduh yang tinggal di Malaysia tanpa pas sah dan melebihi tempoh dibenarkan.

Kumpulan pekerja berkenaan melakukan kesalahan mengikut Seksyen 6(1)(c) dan Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/1963, serta Peraturan 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.

Bapa lima anak itu dituduh melakukan kesalahan yang boleh dihukum mengikut Akta 214 Kanun Keseksaan yang memperuntukan hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Sharul Azuan Ghazali dan Mohd Afiq Adnan, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini