Tumpuan :
Mahkamah

Pembunuh Along Spoon dibebaskan hari ini

 

KUALA LUMPUR: Selepas Mahkamah Persekutuan hari ini meminda hukuman daripada penjara sepanjang hayat kepada pemenjaraan selama 33 tahun, bekas anggota polis, Mohd Ya’cob Demyati yang disabitkan kesalahan membunuh penyanyi era 90-an, Sabi’ul Malik Shafie atau lebih dikenali sebagai Along Spoon, dibebaskan dari Penjara Kajang pada hari sama.

Peguam bela Mohd Ya’cob, Che Muji Che Noh, ketika mengesahkan perkara itu berkata ia susulan anak guamnya sudah selesai menjalani hukuman penjara selama 33 tahun.

“Aspek kelakuan baik anak guam memang ada dalam rayuan saya, dan itu faktor yang mahkamah ambil kira berhubung hukuman.

“Mengikut undang-undang, hukuman adalah penjara antara 30 hingga 40 tahun dan atas rayuan itu, anak guam dikenakan penjara selama 33 tahun.

“Penjara selama 33 tahun itu berkuat kuasa dari tarikh tangkapan (anak guam) pada 4 Januari 2000. Maknanya, dia sudah selesai menjalani hukuman penjara selepas tolak cuti… itu undang-undangnya,” katanya kepada BH, hari ini.

Terdahulu, Mahkamah Persekutuan meminda hukuman daripada penjara sepanjang hayat kepada pemenjaraan selama 33 tahun, ke atas Mohamed Ya’cob, 57.

Panel lima hakim dipengerusikan Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat, pada hari kedua persidangan selepas empat bulan penguatkuasaan Akta Pemansuhan Hukuman Mati Mandatori 2023, membuat keputusan pindaan itu secara sebulat suara.

Empat lagi hakim yang bersidang ialah Hakim Besar Malaya, Tan Sri Mohamad Zabidin Mohd Diah; serta tiga Hakim Mahkamah Persekutuan, iaitu Datuk Seri Hasnah Mohammed Hashim, Datuk Nordin Hassan dan Datuk Abu Bakar Jais.

Pada prosiding hari ini, Mohamed Ya’cob ialah antara 12 individu terlepas hukuman mati atau penjara sepanjang hayat, selepas Mahkamah Persekutuan memindanya kepada penjara 30 tahun dan ke atas serta sebatan.

Bagaimanapun, bekas anggota polis itu terlepas hukuman sebatan atas faktor usia 50 tahun dan ke atas.

Sebelum ini, Mohamed Ya’cob dikenakan hukuman mati, namun diringankan kepada penjara sepanjang hayat selepas Lembaga Pengampunan membenarkan petisyen rayuannya.

Pada 2 November 2010, lelaki itu dilaporkan kekal dikenakan hukuman gantung atas kesalahan membunuh, setelah rayuan akhirnya ditolak oleh Mahkamah Persekutuan.

Panel tiga hakim diketuai Ketua Hakim Negara ketika itu, Tun Zaki Azmi, memutuskan demikian selepas berpuas hati bahawa keterangan ikut keadaan yang disandarkan pendakwa raya adalah kukuh bagi mensabitkan perayu atas tuduhan membunuh, dan tiada sebab untuk menolak penemuan hakim bicara ketika mensabitkan perayu.

Panel hakim berkenaan mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi Seremban, Negeri Sembilan, pada 10 April 2002 yang mensabitkan Mohamed Ya’cob, sebelum Mahkamah Rayuan mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi itu pada 29 Ogos 2008.

Mengikut pertuduhan, Mohamed Ya’acob yang merupakan anggota cawangan pengawal pengiring di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur ketika itu, didakwa membunuh Sabi’ul Malik, 19, di tepi jalan di Kilometer 28 Jalan Kuala Klawang-Genting Peras, Jelebu, jam 1 pagi 26 Disember 1999.

Along Spoon dilaporkan hilang pada 25 Disember 1999 sebelum polis menemui rangka manusia yang diikat dalam guni di lereng bukit di Jalan Kuala Klawang pada 6 Januari 2000.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini