Tumpuan :
Mahkamah

Pembinaan Masjid Tuminah Hamidi terhenti seketika, apabila Yayasan Akalbudi disiasat SPRM  – Saksi 

Foto: NSTP

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini hari ini dimaklumkan oleh Pengurus Projek Masjid Tuminah Hamidi di Bagan Datuk, Perak bahawa kerja-kerja pembinaan masjid terhenti seketika kerana Yayasan Akalbudi yang diasaskan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi disiasat oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Saksi pembelaan ke-9, Ramli Ghani, 56, berkata pembinaan tergendala sekitar tahun 2018.

Ia menyebabkan syarikat kontraktor tidak menerima bayaran bagi kerja pembinaaan selama tiga bulan kerana akaun bank yayasan disita oleh SPRM.

Ramli yang bekerja di bawah syarikat Noble Energy Construction Sdn Bhd selaku kontraktor pembinaan masjid, berkata kerja pembinaan diteruskan pada awal 2019 iaitu empat atau lima bulan selepas pembayaran mendapat pelepasan daripada Yayasan Al-Falah (milik keluarga Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi).

Menjawab soalan peguam bela, Aiman Abdul Rahman, Ramli berkata, masjid yang menelan belanja RM43.7 juta disiapkan pada April lalu tetapi belum dirasmikan, sebaliknya hanya digunakan pada Ramadan lalu.

“Pembinaan Masjid Tuminah Hamidi ini sebenarnya lewat daripada pelan asal tarikh siap…akibat akaun Yayasan Akal Budi disita, perjalanan pembinaan seperti yang dirancang terganggu,” katanya.

“Ia adalah kontrak di antara Noble Energy Construction Sdn Bhd bersama Yayasan Al Falah…saya mengetahui ia adalah sumbangan daripada Yayasan Akal Budi melalui Yayasan Al Falah yang dilantik sebagai pemaju.

“Datuk Seri Zahid kerap datang dan melakukan lawatan kerja pembinaan masjid ini…kebiasannya beliau akan datang dalam sebulan atau dua bulan sekali untuk memantau pembinaan dan memastikan ia berjalan lancar,” katanya.

Saksi itu berkata demikian ketika memberikan keterangan pada perbicaraan kes Ahmad Zahid, 70, yang didakwa dengan 47 pertuduhan iaitu lapan tuduhan rasuah, 12 pecah amanah dan 27 pengubahan wang haram membabitkan dana Yayasan Akalbudi.

Dalam keterangan pada April tahun lalu, Ahmad Zahid berkata antara sumbangan Yayasan Akalbudi khususnya di Bagan Datuk, termasuk Ihya Ramadan untuk fakir, asnaf, anak yatim, penambahbaikan dan penambahan bangunan baharu Surau Kampung Parit 25 dan pembinaan Masjid Tuminah Hamidi.

Katanya, ia turut disalurkan bagi pembinaan masjid di Yunan, China yang menelan kos RM3.8 juta dan pengubahsuaian masjid lama berusia 400 tahun di perkampungan Melayu di Cape Town, Afrika Selatan yang menelan kos AS$1 juta.

Beliau ketika itu menyifatkan kenyataan pihak pendakwaan bahawa tiada satu sen pun dana Yayasan Akalbudi digunakan untuk membantu orang miskin sebagai tidak benar sama sekali.

Katanya, yayasan itu memberikan sumbangan kebajikan kepada golongan miskin dan sumbangan amal jariah berjumlah lebih RM109 juta.

Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah bersambung esok.

Loading...
Terkini