Tumpuan :
Mahkamah

[VIDEO] Pembantu tadbir hadapi enam tuduhan guna jawatan untuk dapatkan suapan

 

JOHOR BAHRU: Seorang wanita berdepan enam pertuduhan menggunakan jawatannya sebagai Pembantu Tadbir (Perkeranian/Operasi) Gred N19 untuk mendapatkan suapan membabitkan jumlah RM13,480.20, tiga tahun lalu.

Tertuduh, Nurul Syahirah Omar, 31, bagaimanapun mengaku tidak bersalah  di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen, Datuk Ahmad Kamal Arifin Ismail.

Dia yang bertugas di Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Daerah Mersing didakwa menggunakan jawatannya untuk mendapatkan suapan dalam mengemukakan sebut harga Amir Barakah Enterprise yang keseluruhannya berjumlah RM13,480.20 melalui dokumen Borang Kajian Pasaran yang mana dia mempunyai kepentingan dalam syarikat itu.

Penjawat awam, Nurul Syahirah Omar, didakwa di Mahkamah Sesyen Johor Bahru hari ini, atas enam pertuduhan mendapatkan suapan

Sebut harga terbabit adalah untuk melaksanakan pembekalan bagi alat-alat ganti kenderaan, kelengkapan pejabat, pembaikan kenderaan jabatan, kelengkapan penyiaran dan perhubungan, kelengkapan elektrik dan elektronik serta pelaksanaan kerja penyelenggaraan kenderaan penumpang.

Tertuduh didakwa melakukan perbuatan itu di Pejabat JPS Daerah Mersing dekat Mersing, antara Ogos 2020 hingga November 2020.

Dakwaan mengikut Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 24(1) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda sehingga lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Peguam, Muhammad Faizzudin Abd Ra’fik yang mewakili tertuduh memohon mahkamah membenarkan anak guamnya diikat jamin dengan jumlah yang rendah.

“Tertuduh mempunyai seorang anak lelaki berusia lima tahun dan turut menanggung ibu bapanya. Sebaik pertuduhan ini dihadapkan kepadanya, tertuduh digantung kerja.

“Tertuduh juga sedang menyambung pengajian dalam Ijazah Sarjana Muda dan Ijazah Sarjana yang memerlukan perbelanjaan yuran lebih RM15,000,” katanya.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin  RM7,000 dengan seorang penjamin warga tempatan berserta syarat tambahan pasport antarabangsa diserahkan ke mahkamah selain perlu melapor diri sebulan sekali di Pejabat SPRM Johor Bahru.

Sebutan semula kes 16 Mei depan.

Loading...
Terkini