comscore
Tumpuan :
Mahkamah

[VIDEO] Pembantu pusat jagaan tidak mengaku tekap sudu panas pada 4 budak 

SEREMBAN: Pembantu pusat jagaan kanak-kanak dihadapkan ke Mahkamah Sesyen, di sini, hari ini, atas empat pertuduhan mendera empat kanak-kanak di pusat berkenaan, Ogos lalu.

Puteri Nurin Amalina Ahmad Daud, 20, mengaku tidak bersalah masing-masing di hadapan Hakim Datin Surita Budin dan Hakim Meor Sulaiman Ahmad Tarmizi selepas pertuduhan dibacakan.

 

Berdasarkan kertas pertuduhan, dia didakwa menganiaya empat kanak-kanak perempuan berusia lima hingga enam tahun dengan cara menekap sudu besi panas di lengan mangsa sehingga menyebabkan kecederaan fizikal melecur.

Kesalahan dilakukan di sebuah pusat jagaan di Taman Merbok Ria, di sini, sekitar Ogos lalu.

Justeru, tertuduh melakukan kesalahan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 (Akta 611) dan boleh dihukum mengikut Seksyen 31(1) akta yang sama.

Sabit kesalahan boleh dipenjara maksimum 20 tahun atau denda sehingga RM50,000 atau kedua-duanya.

Timbalan Pendakwa Raya Noraziha Asmuni dan Syamimi Farhana A Aziz masing-masing tidak menawarkan sebarang jaminan dengan alasan tertuduh mungkin mengulangi kesalahan sama dan mengambil kira keseriusan kesalahan.

Gadis itu yang tidak diwakili peguam memohon jaminan rendah kerana tiada pendapatan tetap dengan hanya diberikan elaun sebanyak RM300 sebulan sebagai pembantu pusat jagaan.

Tertuduh juga memberitahu mahkamah dia mengalami sakit tulang belakang dan akan diikat jamin bapanya.

Surita membenarkan jaminan sebanyak RM40,000 bagi dua pertuduhan dengan syarat perlu melaporkan diri ke balai polis setiap bulan dan menyerahkan pasport kepada mahkamah selain tidak dibenarkan mengganggu mangsa.

Bagaimanapun, Meor Sulaiman tidak membenarkan jaminan diberikan.

Sebutan semula kes bagi penyerahan laporan perubatan dan lantikan peguam pada 18 Oktober depan.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini