BATU PAHAT: Seorang pembantu pengembala lembu dan kambing dipenjara dua bulan oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini selepas mengaku bersalah memecah masuk kediaman Sultan Johor dan merosakkan kunci pintu rumah, dua bulan lepas.
Majistret Suhaila Shafi’uddin menjatuhkan hukuman itu ke atas Muhammad Qamarulazim Samad, 20, dan memerintahkan tertuduh menjalani hukuman penjara dari tarikh tangkap pada 24 Sept lepas.
Mengikut pertuduhan, lelaki itu didakwa memecah masuk kediaman kepunyaan Sultan Johor yang digunakan sebagai tempat menyimpan harta dan melakukan khianat dengan merosakkan kunci pintu rumah, antara 11 malam, 23 Sept hingga 9.30 pagi 24 Sept.
Kesalahan itu dilakukan di Rumah Tempat Datang-Datang, Jabatan Kerja Raya 100, Jalan Kluang, Batu Pahat di sini.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 14 tahun dan bagi mana-mana kesalahan mencuri itu yang dilakukan kali kedua atau seterusnya hendaklah juga dikenakan denda atau sebat, jika sabit kesalahan.
Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Farah Wahidah Mohd Sharip manakala tertuduh diwakili peguam Siti Farha Garieb.
— BERNAMA
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.