PUTRAJAYA: Pembantu operasi sebuah sekolah vokasional didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas 7 pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap lima remaja lelaki.
Lelaki berusia 44 tahun itu mengaku tidak bersalah sebaik pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim, Datin M Kunasundary.
Mengikut pertuduhan, tertuduh yang masih bujang didakwa melakukan amang seksual fizikal terhadap lima pelajar sekolah itu berusia 16 dan 17 tahun bagi tujuan seksual di sebuah kolej vokasional (KV)di Selangor, antara Februari 2022 hingga September lalu.
Pendakwaan mengikut Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 dan boleh dihukum di bawah akta sama yang membawa kepada hukuman penjara tidak lebih 20 tahun dan sebat jika disabitkan kesalahan.
Susulan pengakuan tidak bersalah itu, Timbalan Pendakwa Raya Nurul Faraheen Yahya menawarkan jaminan RM60,000 bagi semua pertuduhan.
“Syarat tambahan melaporkan diri ke balai polis berdekatan setiap bulan, pasport diserahkan kepada mahkamah dan tidak mengganggu mangsa sehingga kes selesai,” katanya.
Bagaimanapun, peguam yang mewakili penjawat awam itu, Nasrul Hadi Mat Saad memohon jaminan RM16,000 atas alasan anak guam perlu menanggung keluarga.
“Gaji anak guam tidak tinggi dan tiada sumber pendapatan lain,” katanya.
Mendengar hujah kedua-dua pihak, Kunasundary kemudian membenarkan jaminan RM20,000 bagi semua pertuduhan dan syarat tambahan seperti dicadangkan pihak pendakwaan, selain menetapkan 21 Disember ini untuk sebutan semula kes.