KOTA BHARU: Seorang pembantu kedai motosikal didakwa di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas dua pertuduhan merogol seorang kanak-kanak perempuan pada Mac dan April tahun lalu.
Bagaimanapun tertuduh, Mohammad Ilfam Mohammad Noor, 21, mengaku tidak bersalah atas pertuduhan yang dibacakan di hadapan Hakim Zulkifli Abllah.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa merogol seorang kanak-kanak perempuan berusia 10 tahun tujuh bulan di waktu siang pada Mac dan April 2023 di sebuah rumah di Jelawat, Bachok.
Kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 376 (2) (e) Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah Seksyen 376 (2) kanun sama yang boleh dipenjara tidak kurang 10 tahun dan tidak lebih 30 tahun dan sebat.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Siti Edabayu Subhan, manakala tertuduh diwakili peguam bela, Mohd Firdaus Zainal Abidin.
Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM15,000 dengan seorang penjamin dan melaporkan diri setiap bulan di balai polis berdekatan serta tidak mengganggu mangsa dan saksi pendakwaan.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.