Tumpuan :
Mahkamah

Pembantu kedai mengaku salah 2 pertuduhan rompakan bersenjata

Pembantu kedai runcit, Zulhairie Zulkifli, 24, mengakui bersalah atas dua pertuduhan melakukan rompakan bersenjata di sekitar Pasir Puteh. – FOTO: NSTP

KOTA BHARU: Seorang pembantu kedai runcit mengaku salah atas dua pertuduhan melakukan rompakan bersenjata di Pasir Puteh pada bulan lalu dan awal bulan ini.

Tertuduh, Zulhairie Zulkifli, 24, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Zulkifli Abllah.

Bagaimanapun, mahkamah menetapkan 19 Januari untuk fakta kes dan hukuman.

Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh didakwa merompak beg duit mengandungi wang tunai milik seorang wanita berusia 18 tahun.

Perbuatan itu dilakukan dalam sebuah kedai runcit di Sungai Petai, Pasir Puteh jam 3.29 petang pada 2 Disember lalu.

Bagi pertuduhan kedua, tertuduh merompak seorang wanita berusia 26 tahun menggunakan sebilah pisau sehingga mendatangkan kerugian RM400.
Perbuatan itu dilakukan di kaunter pembayaran kedai runcit di Pasir Puteh jam 6.45 petang pada 6 November lalu.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 392 dan 397 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 14 tahun dan juga denda atau sebat.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Kamarul Hasyime Rosli, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Kamarul Hasyime tidak menawarkan sebarang jaminan kepada tertuduh dan menetapkan 19 Januari untuk fakta kes dan hukuman.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini