Tumpuan :
Mahkamah

Pembantu kedai makan mengaku salah tinggalkan bayi baru lahir di kedai makan

Nor Zainab mengaku salah atas kesalahan meninggalkan bayi perempuan yang baru dilahirkan di sebuah kedai makan di Sanglang pada bulan lalu. FOTO NSTP

KANGAR: Pembantu kedai makan mengaku bersalah di Mahkamah Majistret, di sini, hari ini, atas kesalahan meninggalkan seorang bayi perempuan yang baru dilahirkan di sebuah kedai makan di Sanglang pada bulan lalu.

Tertuduh, Nor Zainab Jamaludin, 30, dari Kampung Permatang Bongor, Simpang Empat, di sini, hanya mengangguk faham dan mengaku bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Ana Rozana Abdul Rahim.

Berdasarkan pertuduhan, Nor Zainab didakwa meninggalkan seorang bayi perempuan di sebuah kedai makan di Kampung Rama, Sanglang sekitar jam 6.30 pagi pada 19 Januari lalu.

Oleh itu, tertuduh didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 317 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum mengikut Seksyen yang sama.

Pendakwaan dilaksanakan oleh Tengku Ruqayyah Tengku Shahrom manakala tertuduh diwakili peguam, Siti Hajar Che Ahmad dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK).

Tengku Ruqayyah dalam permohonannya meminta mahkamah menetapkan jaminan kepada tertuduh sebanyak RM20,000 serta tarikh baru bagi menunggu laporan kimia dan laporan forensik.

Namun permohonan jaminan sebanyak itu dibantah oleh Siti Hajar yang melihat bahawa mahkamah dapat memberikan jaminan munasabah kepada anak guamnya disebabkan anak guamnya itu adalah rakyat Perlis dan bukanlah seorang ‘flight risk’ yang berkemungkinan akan melarikan diri.

Siti Hajar memberitahu mahkamah bahawa anak guamnya sudah berkahwin serta mempunyai empat tanggungan anak yang masih bersekolah.

Selain itu, anak guamnya hanya berpendapatan dengan RM70 sehari.

Ana Rozana kemudian menetapkan jaminan sebanyak RM6,000 dengan seorang penjamin kepada tertuduh.

Manakala 19 Mac hadapan ditetapkan sebagai tarikh sebutan semula kes.

Pada 19 Januari lalu, penjaga stor bersama isterinya menjumpai seorang bayi perempuan yang ditinggalkan didalam beg plastik atas sebuah meja kedai makan di hadapan rumah mereka.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

 
 
Loading...
Terkini