MUAR: Seorang pembantu kedai makan mengaku bersalah di Mahkamah Majistret, di sini, hari ini terhadap pertuduhan merogol remaja perempuan hingga melahirkan anak, tahun lalu.
Tertuduh, Muhammad Naqiuddun Md Nazri, 19, membuat pengakuan itu sejurus pertuduhan dibaca jurubahasa di hadapan Hakim Abu Bakar Manat.
Mengikut pertuduhan, dia didakwa merogol remaja perempuan berusia 16 tahun (ketika itu) di sebuah hotel di Batu Pahat, pada petang pertengahan Mac hingga April tahun lalu.
Berikutan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 376 (1) Kanun Keseksaan, jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara maksimum 20 tahun dan juga sebatan.
Berdasarkan laporan polis dibuat, tertuduh mengenali mangsa di tapak pesta pada tahun lalu, sebelum mereka keluar bersama-sama.
Ketika itu, mangsa bekerja sebagai penjual air dan perkenalan berkenaan membawa kepada perbuatan terlarang di hotel terbabit.
Selang beberapa bulan kemudian, mangsa disahkan hamil, namun tertuduh melarikan diri kerana enggan bertanggungjawab.
Mangsa kemudian dihantar ke hospital oleh rakan dan melahirkan bayi lelaki pada 31 Disember tahun lalu, namun bayi terbabit meninggal dunia disebabkan tidak cukup bulan.
Susulan kejadian itu, pihak hospital membuat laporan polis dan tertuduh ditahan pada 3 Januari lalu.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Danial Munir, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Mahkamah kemudian menetapkan 17 Julai ini untuk sebutan semula, laporan sosial serta fakta dan juga hukuman.
Pada masa sama, mahkamah memutuskan tiada ikat jamin diberikan terhadap tertuduh.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa