Tumpuan :
Mahkamah

Pemandu mabuk rempuh cermin bank dipenjara 12 bulan, denda RM11,300

Tertuduh, Mohd Shafiezan, 26, dijatuhi hukuman penjara 12 bulan dan 21 hari serta didenda RM11,300 atas kesalahan memandu dalam keadaan mabuk, tiada lesen memandu serta liputan polisi insuran, sehingga menyebabkan kemalangan dan merempuh SST Room RHB Bank, Disember lalu. – FOTO: NSTP

TAWAU: Seorang penganggur dijatuhi hukuman penjara 12 bulan dan 21 hari serta denda RM11,300 oleh Mahkamah Majistret hari ini, atas tiga pertuduhan memandu dalam keadaan mabuk, tiada lesen memandu sah dan insurans sehingga menyebabkan kemalangan, Disember lalu.

Majistret Don Stiwin Malanjum menjatuhkan hukuman itu terhadap Mohd Shafiezan Hassan, 26, selepas dia mengaku bersalah atas semua pertuduhan yang dibacakan secara serentak.

Mahkamah turut memerintahkan lelaki terbabit hilang kelayakan untuk mendapatkan lesen selama tempoh dua tahun bermula tarikh sabitan hari ini.

Berdasarkan ketiga-tiga kertas pertuduhan, tertuduh didakwa memandu di bawah pengaruh alkohol sehingga melanggar Bilik Terminal Layan Diri (SST Room) milik RHB Bank serta lima kenderaan yang diparkir di kawasan berkenaan.

Kejadian berkenaan berlaku di Jalan Mahkamah, dekat sini jam 4.15 pagi pada 29 Disember lalu.

Terdahulu, Pegawai Pendakwa Asisten Superintenden Joan Lee, dalam hujahannya memohon hukuman berat dikenakan ke atas tertuduh sebagai pengajaran kepada tertuduh dan masyarakat awam.

“Kecuaian tertuduh menyebabkan implikasi kewangan yang besar kepada pihak bank menerusi kos pembaikan yang berjumlah RM200,000.00, malah pemilik lima buah kenderaan yang tidak bersalah juga terpaksa menanggung kos pembaikan kenderaan mereka sendiri,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini