Tumpuan :
Mahkamah

Pemandu mabuk langgar suami, isteri didakwa esok

Foto hiasan

PASIR GUDANG: Pemandu kereta yang berada di bawah pengaruh alkohol dan melanggar pasangan suami isteri di Jalan Besar/Jalan Mesjid di sini pada 16 November lalu, akan dihadapkan ke Mahkamah Majistret Johor Bahru, esok.

Ketua Polis Daerah Seri Alam, Superintenden Mohd Sohaimi Ishak mengesahkan, pihak polis telah melengkapkan kertas siasatan berhubung insiden itu.

“Kertas siasatan ini telah dirujuk ke Pejabat Timbalan Pendakwa Raya dan telah mendapat arahan tuduh ke atas pemandu kereta Produa Alza.

“Dua pertuduhan akan dikenakan terhadapnya di bawah Seksyen 44(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Menurut Mohd Sohaimi, dalam kejadian lebih kurang jam 4 pagi, pemandu lelaki tempatan berusia 34 tahun yang memandu Perodua Alza dari Jalan Besar menghala ke Lebuhraya Pasir Gudang, tiba di lokasi simpang empat lampu isyarat.

Katanya, pemandu terbabit meneruskan perjalanan walaupun lampu isyarat sedang merah.

“Kemudian datang penunggang motosikal Honda Vario dinaiki pasangan suami isteri dari arah Jalan Mesjid bergerak terus (hala ke Bandar Pasir Gudang) dan berlaku pelanggaran.

“Akibat pelanggaran itu penunggang dan pembonceng mengalami kecederaan parah dan meninggal dunia di tempat kejadian.

“Hasil siasatan mendapati pemandu Perodua Alza telah memandu di bawah pengaruh alkohol melebihi paras yang ditetapkan,” katanya.

Insiden tersebut mengakibatkan lima anak pasangan terbabit, Mohd. Ridzwan Mohd. Rudi, 37, dan Linda Mohd. A.Aziz, 35, iaitu Nur Aleesha Aindah Abdullah, 17, (orang kurang upaya); Muhammad Ikmal Danish Abdullah, 15; Nur Shahkira, 14; Nur Shahmira, 12, dan Nur Aisyah Humairah, 3, menjadi yatim piatu dan kini dijaga datuk, Mohd Rudi Abdul Rahman, 61 dan neneknya, Ramlah Kasiran, 56.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini