KUCHING: Lelaki yang membuat komen berbaur ugutan bunuh terhadap penyanyi Baby Shima di Facebook (FB), didenda RM4,000 selepas mengaku bersalah di Mahkamah Majistret Sibu, hari ini.
Tertuduh, Mel Maxpherson Munded, 35, dijatuhi hukuman itu selepas mengaku bersalah sejurus pertuduhan dikemukakan terhadapnya di hadapan Majistret, Oon Kork Chern.
Kork Chern juga mengarahkan tertuduh dipenjara dua bulan jika gagal membayar denda itu.
Mengikut pertuduhan, tertuduh yang bekerja sebagai pemandu lori, didakwa melontarkan komen yang berbaur ugutan dan mengancam keselamatan penyanyi terbabit di FB.
Justeru, dia didakwa mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Berdasarkan fakta kes, pada 30 Disember 2024 kira-kira jam 11 malam, Baby Shima atau nama sebenarnya Nor Ashima Ramli terbaca satu komen di FB dengan ayat “Lagi U masuk Sarawak!!. Hati-hati, your enemy MU sudah. Jangan pulang Melaya dengan mayat saja!! Take care Baby Shima.”
Polis menerima laporan daripada penyanyi terbabit yang tampil ke Balai Polis Sibu pada tengah malam Isnin lalu dengan ditemani Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing.
Bertindak atas laporan itu, polis berjaya menahan lelaki berusia 35 tahun di Kota Sentosa, di sini, pada jam 9.15 malam, Selasa lalu.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.