Oleh: Selwam Arjunan
BUKIT MERTAJAM: Seorang pemandu lori didenda RM100 oleh Mahkamah Majistret di sini, selepas didapati bersalah memaki hamun seorang anggota polis, Ahad lepas.
Hukuman dijatuhkan selepas tertuduh, S.Hari Ram, 37, membuat pengakuan bersalah di hadapan Majistret Mohd Harith Mohd Mazlan.
Sekiranya gagal membayar denda, tertuduh boleh dipenjara selama tiga bulan.
Berdasarkan pertuduhan, dia didakwa telah memaki hamun anggota polis dengan sengaja dengan kata-kata kesat di Jalan Baru, Perai.
Kesalahan itu didakwa dilakukan kira-kira jam 4.20 petang, pada 6 Oktober lalu.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM100.
Berdasarkan fakta kes, anggota polis mengarahkan tertuduh berhenti di tepi jalan selepas melihat dia melanggar lampu isyarat merah.
Bagaimanapun, tertuduh telah bertindak agresif dan mengeluarkan kata-kata hinaan serta provokasi selepas anggota polis berkenaan mengeluarkan saman.
Difahamkan tertuduh membayar denda dikenakan.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.