ALOR GAJAH: Seorang pemandu lori didenda RM16,500 oleh Mahkamah Majistret Alor Gajah hari ini selepas mengaku bersalah atas tiga pertuduhan pilihan memandu dengan cuai hingga menyebabkan kemalangan terhadap tiga sekeluarga, lima tahun lalu.
Majistret Nurul Bahiyah Kamaluddin membuat keputusan itu selepas meminda pertuduhan daripada Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ)1987 iaitu kesalahan memandu secara berbahaya hingga mengakibatkan kematian kepada Seksyen 43(1) akta sama di akhir kes pendakwaan hari ini.
Ia selepas mendapati pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie bagi Seksyen 41(1) manakala pembelaan tertuduh, T Kumaresan, 30, sebaliknya berjaya menimbulkan keraguan terhadap kes itu.
Namun katanya, mahkamah mendapati satu kes mengikut Seksyen 43 (1) APJ 1987 boleh dibuktikan terhadap tertuduh bagi ketiga-tiga kes dan meminda pertuduhan terhadapnya yang mana lelaki itu mengaku bersalah dan disabitkan.
Nurul Bahiyah turut memerintahkan tertuduh dipenjara 18 bulan jika gagal membayar denda berkenaan. Tertuduh membayar denda berkenaan.
Mengikut ketiga-tiga pertuduhan, Kumaresan sebagai pemandu lori nombor pendaftaran MBS 9139 didapati memandu secara tidak cermat dan perhatian yang sepatutnya sehingga melanggar kereta dinaiki tiga sekeluarga iaitu Ng Kwang Shiang, 34; Ng Hui Bee, 27; dan Ng Huey En berusia tujuh tahun.
Kesalahan itu dilakukan di Jalan Kolam dekat sini, pada 18 November 2019, kira-kira 12.19 tengah malam.
Sabit kesalahan tertuduh boleh didenda tidak kurang RM5,000 dan maksimum RM10,000 dan boleh dipenjara sehingga 12 bulan serta sabitan hendaklah dicatatkan pada lesen memandu mengikut Seksyen 43(1) APJ 1987.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Fiqri Hakim Zamri memohon hukuman setimpal dikenakan terhadap tertuduh.
Namun, Peguam A Mathan merayu tertuduh dikenakan denda minimum kerana bekerja sebagai pemandu lori dengan pendapatan RM2,000 sebulan dan menanggung isteri tidak bekerja serta ibu yang juga orang kurang upaya (OKU) fizikal.
Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman denda RM5,500 atau enam bulan penjara jika gagal bayar bagi setiap pertuduhan.
Tertuduh membayar denda berkenaan.
Media sebelum ini melaporkan, sepasang suami isteri bersama anak perempuan berusia tujuh tahun maut selepas kereta dinaiki dirempuh lori muatan bakul ayam kosong.
Mangsa berusia tujuh tahun itu meninggal dunia ketika dirawat di hospital manakala seorang lagi anak pasangan itu yang berusia setahun ketika kejadian mengalami kecederaan patah kaki.
Seramai 11 saksi dipanggil memberi keterangan sebelum pendakwaan menutup kes mereka.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.