KUALA LUMPUR: Seorang pemandu lori mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Ampang hari ini atas pertuduhan menyembunyikan mesin juruwang automatik (ATM) emas Public Gold, baru-baru ini.
Loh Kian Luck, 41, didakwa menyembunyikan harta curi iaitu sebuah mesin ATM Public Gold milik Syarikat Public Gold yang dilaporkan hilang, di sebuah premis di Kawasan Perindustrian Bukit Angkat, pada 3 petang, 2 Disember lepas.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 414 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau dengan denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Majistret Normaizan Rahim membenarkan Loh diikat jamin RM3,500 dengan seorang penjamin dan menetapkan sebutan kes pada 20 Februari tahun depan untuk serahan dokumen.
Pada 1 Disember lalu, media melaporkan tiga lelaki tempatan termasuk seorang remaja yang dipercayai mencuri mesin ATM emas Public Gold di sebuah pasar raya di Ampang di sini, berputih mata selepas mesin itu tidak mempunyai jongkong emas.
Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, ACP Mohd Azam Ismail berkata, mesin itu telah dikosongkan dan kerugian dianggar bernilai RM60,000 melibatkan mesin terbabit.-BERNAMA
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.