comscore
Tumpuan :
Mahkamah

Pemandu lori didakwa edar lebih 3 kg kanabis

Shaiful Amin, 40, berdepan hukuman mati kerana mengedar 3,322.72 gram kanabis pada bulan lalu. FOTO: NSTP

TAWAU: Pemandu lori berdepan hukuman mati selepas dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini, hari ini kerana mengedar 3,322.72 gram kanabis pada bulan lalu.

Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh, Shaiful Amin, 40, selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Dayang Aidaku Amira Aminuddin.

Mengikut pertuduhan, bapa kepada dua anak itu didakwa mengedar ganja di sebuah rumah dekat Bandar Sri Indah, Batu 10 Jalan Apas di sini, pada 1.40 tengah hari, 23 September lalu.

Berikutan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 39B(2) akta yang sama.

Sabit kesalahan boleh dijatuhi hukuman mati atau penjara tidak kurang 30 tahun dan tidak melebihi 40 tahun dan sekiranya tidak dihukum mati, hendaklah dikenakan hukuman sebat tidak kurang daripada 12 kali sebatan.

Mahkamah menetapkan 12 November depan sebagai sebutan semula kes sementara menunggu keputusan laporan ujian kimia.

Pendakwaan dikendalikan Asisten Superintendan Jeffrey Kadisun, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Di mahkamah berasingan, tertuduh mengaku bersalah atas dua pertuduhan masing-masing mengikut Seksyen Seksyen 6 Akta Dadah Berbahaya 1962 atas kesalahan memiliki 9.98 gram dadah jenis yang sama dan Seksyen 15(1)(a) kerana memasukkan dadah jenis Tetrahydrocannabinol (THC) ke dalam badannya.

Kedua-dua kesalahan itu masing-masing didakwa dilakukan di kawasan Lorong Industri Megah 2 dan di Pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik IPD Tawau, pada 10.30 pagi dan 4 petang pada 23 September lalu.

Majistret Don Stiwin menetapkan tarikh 18 November depan sebutan semula kes sementara menunggu keputusan laporan ujian kimia dan patologi.

Pendakwaan dijalankan Asistan Superintendan Nur Intan Jamrin Ray, manakala tertuduh diwakili peguam Jhassery P Kang dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK).

Pada 27 September lalu, media melaporkan polis berjaya menumpaskan sindiket pengedaran dadah menggunakan modus operandi bayaran tunai semasa penghantaran (COD) yang didalangi lelaki terbabit.

Susulan tangkapan itu, polis merampas 3,322.72 gram ganja mampat dalam pelbagai bentuk dan saiz menyerupai biskut termasuk yang disimpan dalam balang kaca selepas serbuan dijalankan ke atas rumah suspek.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini