comscore
Tumpuan :
Mahkamah

Pemandu lori didakwa bunuh isteri

 

Foto: NSTP

KLANG: Seorang pemandu lori didakwa di Mahkamah Majistret hari ini kerana membunuh isterinya di sebuah pangsapuri di Bandar Botanik dekat sini, minggu lalu.

Bagaimanapun, tertuduh S Suria Raj, 31, hanya mengangguk faham selepas pertuduhan dikemukakan terhadapnya di hadapan Majistret Siti Zubaidah Mamat.

Tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh kerana kes bunuh di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa membunuh A Kirshashini, 28, dalam bilik tidur sebuah unit pangsapuri di Bandar Botanik antara jam 6.30 pagi hingga 7 pagi pada 7 Jun lalu.

Pendakwaan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati atau penjara antara 30 hingga 40 tahun dan jika tidak dihukum mati, hendaklah dihukum tidak kurang 12 sebatan sekiranya sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nurul Jannah Aimi manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Mahkamah tidak membenarkan Suria Raj diikat jamin sebelum menetapkan 3 September ini bagi penyerahan laporan ujian asid deoksiribonukleik (DNA) dan mental tertuduh.

Media sebelum ini melaporkan seorang wanita ditemukan maut dipercayai dikelar suami sendiri di sebuah pangsapuri di Bandar Botanik, dekat sini pada 7 Jun lalu.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Cha Hoong Fong berkata, hasil siasatan awal mendapati kejadian berlaku pada jam 7 pagi dan mangsa yang berusia 28 tahun ditemui terbaring di atas katil dengan kesan kelar di leher dan tangan kanan.

Katanya, pasangan yang baru dua tahun berkahwin dan mempunyai anak berusia enam bulan itu dipercayai mengalami masalah rumah tangga.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa

Loading...
Terkini