comscore
Tumpuan :
Mahkamah

Pemandu jentolak didakwa rogol gadis bawah umur

Foto hiasan

TELUK INTAN: Seorang pemandu jentolak dihadapkan ke Mahkamah Majistret, di sini, hari ini atas pertuduhan merogol kekasih bawah umur.

Bagaimanapun, tertuduh berusia 19 tahun itu mengaku tidak bersalah sebaik pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret T Ashvinii.

Berdasarkan pertuduhan, dia dituduh merogol kekasih berusia 15 tahun di dalam sebuah bilik hotel di Jalan Sultan Abdullah, Teluk Intan, di sini pada jam 10.30 malam, 6 Mei tahun lalu.

Dia didakwa melakukan kesalahan yang boleh dihukum mengikut Seksyen 376 (1) Kanun Keseksaan yang memperuntuk hukuman penjara maksimum 20 tahun serta sebatan, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Izzudin Fakri Hamdan, manakala tertuduh diwakili peguam, Farriz Minarwan.

Izzudin Fakri menawarkan ikat jamin RM5,000, bagaimanapun peguam tertuduh memohon wang jaminan minimum dengan alasan anak guamnya baru mendapat pekerjaan dua minggu lalu, selain perlu menjaga ibunya selepas kematian bapa, baru-baru ini.

Mahkamah kemudian menetapkan tertuduh diikat jamin RM1,500 dengan seorang penjamin serta syarat tambahan tidak boleh mengganggu mangsa dan saksi sehingga kes tamat.

Majistret T Ashvinii menetapkan 15 Ogos depan sebagai sebutan semula kes.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa

Loading...
Terkini