comscore
Tumpuan :
Mahkamah

Pemandu E-Hailing Didakwa Bunuh Kanak-Kanak

Chan Wen Jie, 28, dihadapkan ke Mahkamah Majistret Johor Bahru di sini, hari ini atas tuduhan membunuh seorang kanak-kanak lelaki berusia empat tahun pada 2 Oktober lalu. – FOTO: NSTP

JOHOR BAHRU: Seorang pemandu e-hailing dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini, hari ini atas tuduhan membunuh seorang kanak-kanak lelaki berusia empat tahun, awal bulan ini.

Chan Wen Jie, 28, menghadapi pertuduhan itu mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati jika sabit kesalahan.

Tiada sebarang pengakuan direkodkan sejurus pertuduhan dibacakan dalam bahasa Mandarin terhadap tertuduh di hadapan Majistret R Salini.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa membunuh Lee See Jie, berusia empat tahun antara jam 8 hingga 8.30 malam di sebuah rumah di Jalan Ria 2, Taman Skudai Ria di sini, pada 2 Oktober lalu.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Nur Aina Syakira Muhammad Syafiq Sim, manakala tertuduh diwakili peguam K Veeranesh Babu.

Mahkamah menetapkan 17 November depan untuk sebutan semula kes bagi serahan laporan kimia dan bedah siasat.

Media sebelum ini melaporkan, mangsa meninggal dunia dipercayai didera rakan bapa dan pembantu rumah warga asing dalam kejadian di sebuah rumah di Taman Skudai, Johor Bahru pada 2 Oktober lalu.

Bapa mangsa yang bekerja di Singapura dan ibunya bekerja di Batu Pahat meminta bantuan suspek untuk menjaga dua anak mereka, termasuk mangsa sejak tiga bulan lalu.

Laporan bedah siasat menemukan beberapa kesan penderaan ke atas tubuh kanak-kanak malang itu.

Loading...
Terkini