IPOH: Saksi pendakwaan ke-11 sekali lagi memberitahu Mahkamah Tinggi di sini, hari ini, bahawa pemandu Perodua Ativa tidak menekan brek sebelum melanggar pelajar Tingkatan Lima, Zaharif Affendi Muhd Zamrie, Disember tahun lalu.
Saksi remaja lelaki itu berkata, sebelum perlanggaran itu berlaku, tiada sebarang bunyi hon daripada kereta Ativa atau tanda-tanda kenderaan terbabit menekan brek.
Menurutnya, dia kemudiannya melihat bahagian bumper tengah Ativa berkenaan melanggar lampu belakang motosikal ditunggang Zaharif sebelum menggilis mangsa, namun tidak pasti bahagian badan mana yang terkena tayar kenderaan itu.
Selain itu, saksi kanak-kanak itu berkata, dia tidak pasti keadaan kerosakan pada motosikal mangsa serta kerosakan pada Ativa selepas perlanggaran itu kerana tumpuannya terarah kepada mangsa.
Perkara itu dimaklumkannya ketika menjawab soalan peguam M Athimulan semasa pemeriksaan balas di hadapan Hakim Datuk Bhupindar Singh Gucharan Singh Preet pada hari ketujuh prosiding perbicaraan, hari ini.
Athimulan: Kalau tayar naik atas manusia mesti ada kesan tayar atas badan, setuju?
Saksi: Tak setuju
Athimulan: Kenapa?
Saksi: Kerana saya tak boleh sahkan kesan itu
Athimulan: Kebiasan tayar naik atas badan manusia, mesti ada tanda kesan tayar, setuju?
Saksi: Setuju
Athimulan: Tapi dalam kes ini sama ada ada kesan tayar atas Zaharif atau baju Zaharif, kamu tahu?
Saksi: Saya tak pasti
Menurut saksi kanak-kanak itu, dia mungkin tidak menyedari bunyi hon dari kereta Ativa kerana terkejut dengan kejadian perlanggaran itu.
Athimulan: Setujukah kamu jika saya cadangkan sebelum perlanggaran itu berlaku, tiada sebarang bunyi hon mungkin kerana kamu tak perasan sebab terkejut?
Saksi: Setuju
Athimulan: Kamu pasti atau tak perasan kereta itu cuba brek?
Saksi: Saya tak pasti
Athimulan: Kamu kata pemandu Ativa marah melalui apa kamu nampak, setuju?
Saksi: Ya
Athimulan: Bukan dia cakap dengan marah-marah?
Saksi: Saya tak dengar
Athimulan: Kamu tak tahu kenapa dia marah?
Saksi: Betul
Semasa pemeriksaan semula oleh Timbalan Pendakwaan Raya Afzainizam Abdul Aziz, saksi itu bagaimanapun menjelaskan semula bahawa kejadian kemalangan itu berlaku dengan laju.
Afzainizam: Tadi peguam soal kamu perasan kereta cuba brek atau tidak , jawapan kamu ‘saya tidak pasti’. Kemudian saya rujuk pernyataan bertulis, ‘sebelum perlanggaran berlaku, tiada hon atau tanda-tanda kereta Ativa tekan brek’. Tolong jelaskan kenapa kamu bagi dua jawapan berlainan.
Saksi: Kerana sewaktu itu apa yang saya nampak kereta Ativa dibawa dengan laju dan gilis (mangsa) dan situasi berlaku dengan laju.
Afzainizam: Ada brek atau tidak?
Saksi: Tiada
Mengikut pertuduhan, Mohd Nazri Abdul Razak, 45, didakwa membunuh Muhammad Zaharif, 17, di Jalan Taman Jati 1 berhampiran SMK Jati antara jam 11.45 pagi hingga 12.32 tengah hari 15 Disember 2023.
Pegawai kanan polis berpangkat Deputi Superintendan itu didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati atau penjara 30 hingga 40 tahun dan sebatan minimum 12 kali, jika sabit kesalahan.
Selain Afzainizam, pasukan pendakwaan dibarisi Nasrul Hadi Abdul Ghani, V Suloshani dan Low Qin Hui manakala tertuduh diwakili peguam Athimulan, Datuk Mior Faridalathrash Wahid dan Aiman Hakim Kamaruzzaman.
Prosiding perbicaraan bersambung esok.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.