PETALING JAYA: Pemain pertahanan Sabah FC, Mohd Rizal Mohd Ghazali mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas dua pertuduhan merosakkan telefon bimbit dan mencederakan teman wanitanya di sebuah hotel, dua minggu lalu.
Artikel berkaitan: Status hubungan punca pemain bola sepak pukul kekasih
Mohd Rizal yang beraksi dalam saingan Liga Super mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Majistret, Zhafran Rahim Hamzah.
Mengikut pertuduhan, Mohd Rizal yang juga bekas pemain bola sepak kebangsaan didapati sengaja mendatangkan kecederaan dengan memukul Hani Farhana Hasrul Sani, 37, dan melakukan khianat merosakkan telefon bimbit milik mangsa dengan nilai kerugian RM4,500 di sebuah bilik hotel di sini, pada 7 Jun lalu.
Pendakwaan mengikut Seksyen 323 dan 427 Kanun Keseksaan masing-masing memperuntukkan hukuman penjara maksimum setahun, denda hingga RM2,000 atau kedua-duanya dan penjara maksimum tiga bulan atau denda atau kedua-duanya jika disabitkan kesalahan.
Susulan pengakuan tidak bersalah itu, Timbalan Pendakwa Raya, Siti Maryam Jamilah Md Kamal, memohon Mohd Rizal diikat jamin RM7,000.
“Syarat tambahan tertuduh tidak boleh mengganggu mangsa dan saksi pendakwaan,” katanya.
Sementara itu, peguam bela Mohd Rizal, Datuk Suraj Singh, memohon jaminan paling rendah atas alasan anak guam perlu menanggung ibu bapa, tiada risiko melarikan diri dan tiada pertuduhan kes lain.
“Kenalan rapat anak guam akan menjadi penjaminnya. Anak guam memberi kerjasama penuh kepada polis dan apabila dapat panggilan pegawai penyiasat, anak guam hadir ke mahkamah tepat pada waktunya (pagi tadi).
“Jaminan hanya untuk pastikan kehadiran pada perbicaraan dan bukan untuk menghukum,” katanya.
Majistret kemudian membenarkan jaminan RM3,500 dan syarat tambahan seperti dimohon pihak pendakwaan, manakala sebutan semula kes ditetapkan 24 Ogos ini.
Pada 7 Jun lalu, polis menahan pemain berkenaan dalam satu serbuan di sebuah hotel di sini untuk membantu siasatan hasil maklumat dan risikan.
Media sebelum ini melaporkan, seorang bekas pemain kebangsaan dipercayai membelasah kekasihnya sehingga cedera selepas berlaku pergaduhan antara mereka baru-baru ini.
Menurut sumber, pemain itu dikatakan sering melakukan perbuatan terbabit sehingga menyebabkan kekasihnya yang juga seorang doktor mendedahkan perkara itu kepada umum.
Perbuatan terbabit menyebabkan wanita berkenaan lebam di tangan dan beberapa kesan calar sebelum mendapatkan rawatan susulan di sebuah klinik swasta.