Oleh: Mas Zharif Zhafri Aziz Desa
KUALA LUMPUR : Seorang pelatih Akademi Latihan Ketenteraan ALK, Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) didakwa atas pertuduhan mendatangkan kecederaan terhadap seorang pegawai kadet di universiti sama dengan memijak badan mangsa berusia 19 tahun sehingga mengalami keretakan pada tulang rusuk dan tulang belakang.
Tertuduh, Mohd Adil Mat Awang Ghani, 22, mengaku tidak bersalah atas pertuduhan tersebut selepas dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Noorelynna Hanim Abd Halim.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan terhadap mangsa berusia 19 tahun apabila memijak perut mangsa dengan spike boot di Padang Kawad, ALK, UPNM pada 10.45 malam, 21 Oktober lalu.
@buletintv3 Seorang pegawai kadet Akademi Latihan Ketenteraan (ALK), Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) didakwa di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur, atas pertuduhan mendatangkan kecederaan terhadap seorang pegawai kadet di universiti sama dengan memijak perut memakai ‘spike boot’. Tertuduh, Mohd Adil Mat Awang Ghani, 22, mengaku tidak bersalah atas pertuduhan tersebut selepas dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Noorelynna Hanim Abd Halim. #BuletinTV3 #KesPijak #UPNM #MengakuTidakBersalah ♬ original sound – BuletinTV3
Pihak pendakwaan menawarkan ikat jamin berjumlah RM10,000 dengan seorang penjamin.
Tertuduh memohon untuk mengurangkan ikat jamin, dan Hakim kemudiannya menetapkan ikat jamin berjumlah RM5,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan, dimana tertuduh tidak boleh menggangu dan menghubungi saksi pendakwaan.
Mahkamah menetapkan 10 Februari tahun depan sebagai tarikh sebutan semula kes.
Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang sabit kesalahan boleh membawa hukuman maksimum penjara setahun atau denda RM2,000 atau kedua-duanya sekali.
Sebelum ini, media melaporkan satu lagi kejadian buli dilaporkan di UPNM membabitkan pelatih tahun satu yang mengalami keretakan pada tulang rusuk dan tulang belakang.
Kejadian dilaporkan pada 21 Oktober lalu, sehari sebelum seorang pelajar tahun dua universiti berkenaan ditekap seterika oleh pelajar tahun empat.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.