KUALA LUMPUR: Pelatih Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) yang juga suspek kes buli yang didakwa memijak junior sehingga parah dijangka dituduh di Mahkamah Jalan Duta, hari ini.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd Isa berkata, pertuduhan di mahkamah ke atas pelatih tahun tiga UPNM itu dibuat selepas siasatan terhadapnya selesai dijalankan.
Beliau berkata, kertas siasatan kes berkenaan sudah dilengkapkan dan dirujuk kepada Jabatan Peguam Negara (AGC) untuk arahan lanjut sebelum ini.
“Kita sudah menerima arahan dari AGC untuk membuat pertuduhan ke atas suspek di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja menyebabkan kecederaan.
“Pertuduhan akan dibuat di Mahkamah Jalan Duta jam 9 pagi Jumaat,” katanya dalam kenyataan semalam.
Rusdi berkata, jika disabitkan kesalahan suspek boleh dihukum penjara sehingga setahun atau denda maksimum RM2,000 atau kedua-duanya sekali.
Sebelum ini, media melaporkan satu lagi kejadian buli dilaporkan di UPNM membabitkan pelatih tahun satu yang mengalami keretakan pada tulang rusuk dan tulang belakang.
Kejadian dilaporkan pada 21 Oktober lalu, sehari sebelum seorang pelajar tahun dua universiti berkenaan ditekap seterika oleh pelajar tahun empat.
Rusdi dilaporkan berkata, ketika kejadian mangsa berada di tepi padang kawad setelah selesai sesi panggil nama.
Mangsa, 19, dilaporkan mengalami keretakan pada tulang rusuk dan tulang belakang akibat dipijak seorang pelatih tahun tiga dan mendapatkan rawatan di hospital berikutan kecederaan dialami.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.