Tumpuan :
Mahkamah

Pelatih institut perladangan mengaku salah rogol remaja atas padang

Pelatih institut perladangan, Mohamad Azfar dibawa keluar dari Mahkamah Sesyen Muar selepas mengaku rogol remaja atas padang. – FOTO: NSTP

MUAR: Pelatih sebuah institut perladangan mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas pertuduhan merogol remaja perempuan di atas padang rumput di Segamat, bulan lalu.

Tertuduh, Mohamad Azfar Asmawi, 18, membuat pengakuan itu sejurus pertuduhan dibaca oleh jurubahasa di hadapan Hakim Sayani Mohd Nor.

Mengikut pertuduhan, remaja terbabit didakwa merogol mangsa berusia 14 tahun di atas padang rumput taman permainan dekat Jementah, Segamat, 9.30 malam, 15 November lalu.

Oleh itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 376 (1) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan penjara sehingga 20 tahun dan juga sebatan.

Berdasarkan laporan dibuat bapa mangsa, pada jam 11 pagi, 19 November lalu, lelaki itu ke sekolah untuk berjumpa guru kaunseling selepas diberitahu anaknya melakukan perbuatan itu.

Mangsa ditemani bapanya kemudian ke Balai Polis Jementah untuk membuat laporan dengan tertuduh ditahan pada jam 12.28 tengahari, 8 Disember lalu.

Tertuduh juga dilaporkan mengenali mangsa melalui aplikasi kenalan sebelum mereka berdua bersia-siar menaiki sebuah motosikal.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Danial Munir manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Terdahulu, pihak pendakwaan memohon satu tarikh bagi membolehkan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) menyediakan laporan sosial berkaitan tertuduh.

Mahkamah membenarkan permohonan pihak pendakwaan selain tidak membenarkan tertuduh diikat jamin.

Kes disebut semula pada 14 Januari ini untuk fakta dan hukuman serta perbentangan laporan sosial dari JKM.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini