KUALA LUMPUR: Pelakon Sharnaaz Ahmad didakwa di Mahkamah Majistret hari ini, atas pertuduhan mencederakan seorang pengawal keselamatan pada tahun lalu.
Bagaimanapun, tertuduh atau nama penuhnya, Sharnaaz Ahmad Bazir Ahmad, 38, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Majistret Atiqah Mohamed @ Mohamad Saim.
Pada 16 Jun tahun lalu, Sharnaaz ditahan selepas didakwa menumbuk dan menendang penghuni sebuah kondominium di Segambut, di sini.
Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Beh Eng Lai, dilaporkan berkata kejadian bermula apabila mangsa yang juga pengawal keselamatan di tempat lain meminta rakannya membeli minyak masak.
Bagaimanapun, rakannya itu tidak dibenarkan masuk oleh pengawal keselamatan kondominium terbabit menyebabkan berlaku pertengkaran antara mangsa dengan pengawal keselamatan itu.
Pelakon terbabit yang melihat insiden datang menegur mereka sebelum mangsa didakwa ditumbuk olehnya hingga lebam pada muka.
Susulan kejadian, Sharnaaz direman tiga hari dan dibebaskan sementara kertas siasatan lengkap untuk pertuduhan.