Tumpuan :
Mahkamah

Pelajar dihantar ke Henry Gurney, 63 pertuduhan amang seksual dan miliki video porno

Foto hiasan

BATU PAHAT: “Bertaubatlah, jadikan hukuman ini untuk kamu bermuhasabah diri,” demikian nasihat Majistret Suhaila Shafi’uddin sebelum memerintahkan seorang pelajar didakwa dengan 63 pertuduhan amang seksual bukan fizikal dan memiliki video pornografi juniornya menjalani hukuman di Sekolah Henry Gurney, Melaka selama tiga tahun.

Keputusan yang diputuskan di Mahkamah Majistret, di sini dan berkuatkuasa hari ini itu selari dengan Seksyen 91 (1) (f) Akta Kanak-Kanak 2001 memandangkan tertuduh dikategorikan pesalah juvana.

Mengikut pertuduhan pertama hingga ke-62, dia didakwa melakukan amang seksual bukan fizikal terhadap tujuh pelajar junior lelaki dengan meminta mangsa menunjukkan tubuh supaya dilihat oleh tertuduh.

Perbuatan itu dilakukan di beberapa lokasi berasingan antaranya tandas surau dan sekolah serta rumah mangsa dalam daerah ini, Kluang dan Tangkak.

Kesemua kejadian itu berlaku antara jam 10 pagi hingga 11 malam, bermula Disember 2023 hingga hujung bulan lalu membabitkan mangsa berusia antara 13 hingga 17 tahun.

Oleh itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 15 (a) (ii) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak (AKKSKK) 2017 yang memperuntukkan penjara sehingga 10 tahun atau denda RM20,000 atau kedua-dua, bagi setiap pertuduhan dikenakan terhadapnya.

Bagi pertuduhan ke-63, dia didakwa memiliki video pornografi kanak-kanak dalam komputer riba di sebuah rumah pada jam 2.30 pagi, 11 November lalu.

Justeru, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 10 AKKSTKK dan boleh dipenjara selama lima tahun atau denda sehingga RM10,000 atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Berdasarkan laporan dibuat, tertuduh meminta mangsa melakukan aksi tidak senonoh serta memintanya merakam.

Selepas selesai melakukan aksi itu, semua mangsa diminta menyerahkan rakaman video terbabit kepada mangsa.

Kejadian itu berlaku beberapa kali malah ada pelajar diminta membuat aksi itu sehingga 12 kali.

Mangsa juga diminta oleh tertuduh mengulangi perkara sama, serta diugut untuk disebarkan video atau menyerahkan wang jika enggan menuruti arahannya.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Farah Wahidah Mohd Sharip manakala tertuduh diwakili peguam, Mohd Razak Sharif.

Terdahulu, Pegawai Akhlak Jabatan Kebajikan Malaysia (JKM) Batu Pahat, Silanoraismawati Mhd Zain dalam perbentangan laporan akhlak mencadangkan agar tertuduh ditempatkan di sekolah sama.

Pada masa sama, mahkamah turut memerintahkan tertuduh menjalani pengawasan polis selama setahun serta melapor diri di balai polis berhampiran sebaik menjalani perintah itu.

Mahkamah juga mengeluarkan perintah agar ibu bapa tertuduh melawatnya di Sekolah Henry Gurney sebulan sekali.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini