Tumpuan :
Mahkamah

Pekerja pembersihan dituduh rogol, cabul anak tiri

Foto hiasan

MUAR: Pekerja pembersihan dihadapkan ke Mahkamah Sesyen atas pertuduhan merogol dan melakukan amang seksual fizikal terhadap anak tiri di Segamat, sejak dua tahun lalu.

Tertuduh berusia 40 tahun bagaimanapun mengaku tidak bersalah terhadap kedua-dua pertuduhan yang dibacakan di hadapan Hakim Sayani Mohd Nor.

Mengikut pertuduhan pertama, dia didakwa merogol anak tiri berusia 14 tahun di ruang tamu sebuah rumah pada jam 11 malam, sekitar Januari 2023.

Oleh itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 376 (3) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan penjara hingga 30 tahun dan sebatan tidak kurang 10 kali.

Bagi pertuduhan kedua pula, dia didakwa melakukan amang seksual terhadap mangsa sama pada jam 1 hingga 2 pagi, 21 Februari lalu dengan kejadian ini juga berlaku di rumah sama.

Kesalahan ini dilakukan mengikut Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak (AKKSTKK) 2017, dan dibaca Seksyen 16 akta sama.

Seksyen 14 (a) memperuntukkan penjara hingga 20 tahun dan sebatan manakala Seksyen 16 yang juga tambahan hukuman, penjara hingga lima tahun dan sebatan tidak kurang dua kali.

Berdasarkan laporan dibuat, kejadian berlaku ketika mangsa bersama ibu dan adik beradik lain serta tertuduh tidur di ruang tamu.

Kejadian pertama berlaku pada 2023 dengan tertuduh mengambil kesempatan melakukan perbuatan terkutuk terhadap mangsa namun dia tidak menceritakan kepada sesiapa kerana bimbang diapa-apakan.

Sejak kejadian itu, mangsa kelihatan murung dan kurang bercakap namun tidak tahan dengan sikap tertuduh akhirnya menceritakan kejadian itu kepada ibu saudaranya sebelum membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Segamat pada 24 Februari lalu.

Susulan laporan itu, polis menahan tertuduh keesokan hari bagi membantu siasatan berhubung kejadian itu.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Othman Affan Ismail manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Terdahulu pihak pendakwa membantah sekiranya mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin atas faktor keselamatan terhadap mangsa memandangkan mereka tinggal bersama.

Mahkamah membenarkan permohonan pendakwaan dengan tidak menawarkan ikat jamin serta menetapkan 9 April untuk serahan dokumen dan lantikan peguam tertuduh.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini