Tumpuan :
Mahkamah

Pekerja ladang dipenjara 10 tahun, 1 sebatan miliki bom tangan, senjata tajam

Oleh: Baharuddin Mohamed

MELAKA: Seorang pekerja ladang ternakan lembu dipenjara 10 tahun dan satu sebatan oleh Mahkamah Sesyen Ayer Keroh, di sini, hari ini atas dua tuduhan memiliki sebutir bom dan senjata tajam, empat tahun lalu.

Hakim Darmafikri Abu Adam menjatuhkan hukuman itu ke atas P. S. Tamil Kumaran, 36, selepas membuat pengakuan sejurus dua kertas pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah.

Hakim Darmafikri memerintahkan tertuduh menjalani hukuman penjara dari tarikh ditangkap pada 24 Oktober 2019.

Mahkamah turut memerintahkan Tamil Kumaran menjalani hukuman itu di Penjara Sungai Buloh kerana tertuduh sedang menghadapi satu lagi pendakwaan kes bunuh di Mahkamah Tinggi Shah Alam.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didapati bersalah memiliki sebutir bom tangan tanpa kebenaran yang sah di sisi undang-undang yang ditemui di dalam sebuah kereta jenis Toyota Vios bersama dua lagi rakannya.

Kesalahan itu dilakukan di persimpangan lampu isyarat Lebuh Alor Gajah-Melaka-Jasin, (AMJ), di Serkam, dari arah Muar ke Melaka pada jam 12.15 tengah hari, 24 Oktober 2019.

Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa di bawah Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957 dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Sabit kesalahan boleh dipenjara tujuh tahun atau denda RM10,000 atau kedua-duanya sekali.

Tertuduh juga didapati bersalah memiliki dua bilah parang dan dua batang kayu rotan tanpa kebenaran yang sah di sisi undang-undang di tempat, masa dan tarikh sama.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 6 (1) Akta Bahan-Bahan Kakisan dan Letupan dan Senjata Berbahaya 1958 yang dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga 10 tahun dan sebat.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, N. Siva Shangari manakala tertuduh diwakili Peguam Datuk Sheelan Arjunan.

Hakim Darmafikri dalam penghakimannya menjatuhkan hukuman penjara lima tahun bagi setiap pertuduhan dengan satu sebatan bagi pertuduhan kedua.

Loading...
Terkini