comscore
Tumpuan :
Mahkamah

Pekerja kilang tidak mengaku melakukan amang seksual terhadap anak kekasih

MUAR: Di Mahkamah Sesyen di sini hari ini, seorang pekerja kilang mengaku tidak bersalah atas pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap anak teman wanitanya, bulan lalu.

Pertuduhan terhadap Azle Mongin, 50, dikemukakan oleh jurubahasa di hadapan Hakim Sayani Mohd Nor.

Mengikut pertuduhan, bapa kepada enam anak didakwa melakukan amang seksual terhadap remaja berusia 17 tahun di sebuah rumah di Parit Yaani, Batu Pahat dengan kejadian berlaku pada jam 3.01 pagi, 31 Ogos lalu.

Berikutan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak (AKKSTKK) 2017 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 14 akta sama, penjara selama 20 tahun dan juga sebatan.

Berdasarkan laporan dibuat, mangsa bersama dua adiknya tinggal bersama ibu di rumah sewa selepas kedua-dua orang tuanya bercerai.

Tertuduh sudah lama mengenali ibu mangsa malah kerap datang serta tidur di rumahnya.

Namun, pada hari kejadian, tertuduh menyelinap masuk bilik mangsa tanpa pengetahuan ibunya sebelum melakukan perbuatan itu.

Pada mulanya, mangsa menceritakan kejadian itu pada ibunya tapi wanita itu tidak mempercayainya sebelum mengadu kepada bapanya yang kini menetap di Kulai.

Selepas dimaklumkan kejadian itu, mangsa ditemani bapanya membuat laporan di Balai Polis Yong Peng, dengan tertuduh turut ditahan pada hari sama.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Danial Munir sementara tertuduh tidak diwakili peguam.

Terdahulu pihak pendakwaan tidak menawarkan ikat jamin terhadap tertuduh atas beberapa faktor termasuk kedudukan rumah mangsa dan tertuduh tidak jauh.

“Selain kes ini dilihat serius dan tidak boleh dijamin, pihak pendakwaan mohon mahkamah mempertimbangkan kedudukan rumah mangsa dan tertuduh selain hubungan rapat dengan ibu mangsa.

“Jika dibenarkan ikat jamin, pihak pendakwaan khuatir tertuduh akan mengganggu mangsa memandangkan dia turut pernah bermalam di rumah itu,” hujahnya.

Selepas mendengar hujahan itu, mahkamah membenarkan permohonan pihak pendakwaan dengan tidak menawarkan ikat jamin sebelum tertuduh dihantar ke Pusat Koreksional Muar untuk tahanan sementara.

Mahkamah kemudian menetapkan 9 Oktober ini untuk serahan dokumen serta lantikan peguam.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini