MUAR: Seorang pekerja kedai makan dijatuhkan hukuman penjara tujuh tahun dan dua sebatan oleh Mahkamah Sesyen di sini, hari ini kerana melakukan amang seksual dan menunjukkan isyarat lucah terhadap pelajar perempuan yang juga seorang anak yatim piatu, Mei lalu.
Hamdan Mohamad, 45, membuat pengakuan bersalah selepas dua pertuduhan itu dibaca jurubahasa di hadapan Hakim Sayani Mohd Nor.
Bapa kepada dua anak itu didakwa melakukan amang seksual fizikal terhadap mangsa berusia 15 tahun, di sebuah kedai makan di Batu Pahat, 6.30 petang, 28 Jun lalu.
Bagi pertuduhan ini, dia didakwa mengikut Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak (AKKSTKK) 2017 yang memperuntukkan penjara 20 tahun dan juga boleh dikenakan sebatan.
Selain itu, tertuduh juga didakwa menunjukkan isyarat lucah terhadap mangsa pada jam 5 petang, 22 Mei lalu dengan kejadian ini juga berlaku di lokasi sama.
Dia didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 15 (a) (i) akta sama dengan penjara sehingga 10 tahun dan denda RM20,000 atau kedua-dua jika sabit kesalahan.
Mengikut fakta kes, polis menerima laporan daripada mangsa yang juga anak yatim piatu pada jam 1.08 pagi, 8 Julai lalu berhubung kejadian amang seksual membabitkan tertuduh.
Siasatan polis mendapati kejadian berlaku pada hari pertama mangsa bekerja di kedai makan itu dengan tertuduh mengambil kesempatan melakukan perbuatan tidak senonoh.
Mangsa bekerja di kedai terbabit untuk mencari pendapatan tambahan dan tertuduh juga didapati kerap menghubungi dan menghantar mesej lucah kepada mangsa.
Kejadian amang seksual berlaku ketika mangsa sedang mengupas kulit telur yang mana ia turut disaksikan pekerja lain.
Susulan itu, mangsa membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Batu Pahat dengan tertuduh ditahan pada 9 Julai lalu.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Danial Munir manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman penjara lima tahun dan dua sebatan bagi kesalahan mengikut Seksyen 14 (a) dan dua tahun bagi Seksyen 15 (a) (1).
Pada masa sama, mahkamah memerintahkan tertuduh menjalani pengawasan polis selama dua tahun selepas selesai hukuman selari dengan Seksyen 27 AKKSTKK.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.