KUALA LUMPUR: Pejabat Peguam Negara merayu keputusan Mahkamah Tinggi yang membebaskan peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah daripada kes pengubahan wang haram, membabitkan RM9.5 juta yang didakwa diterima daripada Datuk Seri Najib Razak serta membuat penyata tidak betul kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).
Timbalan Pendakwa Raya Afzainizam Abdul Aziz yang mengesahkan perkara itu ketika dihubungi pemberita hari ini, berkata pihak pendakwaan memfailkan notis rayuan di Mahkamah Tinggi melalui e-filing pada jam 4.01 petang.
Pada 28 Oktober lalu, Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Muhammad Jamil Hussin membebaskan Muhammad Shafee tanpa perlu dipanggil membela diri, selepas mendapati pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadapnya.
Hakim itu memutuskan tidak selamat untuk memanggil Muhammad Shafee dipanggil membela diri, selepas mendapati tiada keterangan langsung menunjukkan kesalahan predikat (kesalahan asal) yang membuktikan dua keping cek diterimanya, hasil aktiviti haram.
Katanya, saksi pendakwaan sendiri ketika disoal balas mengesahkan tiada aktiviti haram berlaku ketika cek diterima dan cek berkenaan juga bukan hasil aktiviti haram.
Pada 13 September 2018, Muhammad Shafee mengaku tidak bersalah atas dua tuduhan membabitkan diri dengan aktiviti pengubahan wang haram, iaitu menerima hasil daripada aktiviti haram, masing-masing berjumlah RM4.3 juta dan RM5.2 juta melalui dua keping cek AmIslamic Bank Berhad milik Najib yang dimasukkan ke dalam dua akaun CIMB Bank Berhad miliknya.
Peguam itu juga mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan membabitkan diri secara langsung dalam transaksi berkaitan hasil daripada akitiviti haram, iaitu dengan membuat suatu penyata tidak betul dan bertentangan dengan Perenggan 113(1)(a) Akta Cukai Pendapatan 1967, bagi Tahun Kewangan berakhir 31 Disember 2013 dan 31 Disember 2014. -BERITA HARIAN