Tumpuan :
Kes

Peguam mohon kurang kadar ikat jamin, Hafidz Roshdi hilang pendapatan

FOTO: NSTP

KUALA KUBU BHARU: Peguam bela pelakon Hafidz Roshdi, Datuk Akberdin Abdul Kader memohon mahkamah mengurangkan kadar ikat jamin kepada di bawah RM5,000 dengan alasan anak guamnya mempunyai tanggungan dua anak.

Selain itu, menurut peguam bela Hafidz, kontroversi rumah tangganya menyebabkan pelakon itu kehilangan pendapatan selepas beberapa syarikat produksi menarik balik tawaran berlakon kepadanya.

“Beliau kehilangan pendapatan selepas beberapa produksi menarik balik tawaran berlakon kepada susulan kontroversi dihadapi.

“Beliau juga mengidap gangguan bipolar, namun menjelaskan bahawa ia bukan masalah mental yang serius seperti masalah skizofrenia,” katanya ketika berhujah di hadapan Hakim, Siti Fatimah Talib, yang bertindak sebagai Majistret,

Aberdin memohon kadar jaminan itu dikurangkan selepas Timbalan Pendakwa menawarkan ikat jamin RM10,000 dikenakan terhadap Hafidz selaku Orang Kena Tuduh (OKT) dengan beberapa syarat tambahan.

Pertama, penjamin perlu memastikan OKT menjalani rawatan psikiatri di Hospital Bahagia Tanjung Rambutan dan menjalani penilaian psikiatri dan kedua, OKT tidak mengganggu mangsa secara terus atau melalui ejen dengan apa cara sekali pun.

Selain itu, pihak pendakwaan mensyaratkan pasport OKT diserahkan kepada pihak mahkamah sehingga kes selesai dibicarakan.

Terdahulu, Hafidz atau nama sebenarnya Muhammad Hafidz Roshdi, 29, mengaku tidak bersalah atas tuduhan menumbuk pipi kiri isterinya sebanyak tiga kali di susur keluar Plaza Tol Sungai Buaya di sini dua minggu lalu.

Berdasarkan pertuduhan, Hafidz didakwa menumbuk pipi kiri isterinya, Nurul Shuhada Mat Shukri, 29, sebanyak tiga kali sehingga mangsa mengalami luka, lebam dan bengkak.

Kesalahan itu didakwa dilakukan berhampiran susur keluar Plaza Tol Sungai Buaya di sini pukul 3.22 pagi pada 2 Mac lalu.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum setahun atau denda RM2,000 atau kedua-duanya, dan dibaca bersama Seksyen 326A kanun sama yang memperuntukkan hukuman maksimum dua kali ganda bagi sabitan di bawah Seksyen 323.

Selepas mempertimbangkan rayuan tertuduh menerusi peguam belanya, mahkamah kemudian membenarkan Hafidz diikat jamin RM4,000 dengan seorang penjamin.

Mahkamah juga memerintahkan tertuduh dihantar ke Hospital Bahagia Tanjung Rambutan pada 28 Mac ini bagi menjalani rawatan dan pemeriksaan.

“Tertuduh diarahkan tidak mengganggu mangsa, selain pasport diserahkan kepada mahkamah sehingga kes selesai.

“Tertuduh dibenarkan ikat jamin sebanyak RM4,000 dan tarikh 9 Jun ini bagi sebutan semula kes, selain laporan perubatan mangsa dan laporan penilaian psikiatri tertuduh,” kata hakim itu.

Sementara itu, Hafidz ketika dibawa anggota untuk membayar wang ikat jamin hanya diam dan tidak memberi sebarang respons ketika dikerumuni petugas media yang cuba meminta komen berhubung pertuduhan dihadapinya.

Pada 4 Mac lalu, Hafidz ditahan polis bagi membantu siasatan atas dakwaan menumbuk isterinya, Nurul Shuhada Mat Shukri, 29, dalam kejadian di sebuah kawasan rehat dan rawat (R&R) di Sungai Buloh.

Dia ditahan kira-kira pukul 12 tengah ketika dia hadir ke Bahagian Siasatan Jenayah Seksual, Wanita dan Kanak-Kanak (D11) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor sebelum dibebaskan dengan jaminan polis pada hari sama.

Pada 2 Mac lalu, Hafidz didakwa menumbuk muka Nurul Shuhada, sebanyak tiga kali ketika berlaku pertengkaran di antara mereka.

Akibat kejadian itu, Nurul Shuhada terpaksa menerima 10 jahitan dan menyebabkan wajahnya mengalami parut kekal.

Untuk rekod, Hafidz dan Nurul Shuhada mendirikan rumah tangga pada 30 April 2016 dan mereka dikurniakan dua cahaya mata iaitu Humairah, 6 dan Umur, 2 tahun.

Hafidz melafazkan cerai terhadap Nurul Shuhada melalui panggilan telefon di hadapan keluarga masing-masing pada 22 Februari lalu sebelum wanita itu memfailkan proses pengesahan lafaz cerai di Mahkamah Syariah pada 28 Februari lalu.

Loading...
Terkini