KUALA KANGSAR: Pengawal keselamatan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen, di sini hari ini atas tuduhan sumbang mahram dan amang seksual terhadap anak kandungnya yang masih remaja, tahun lalu.
Lelaki berusia 52 tahun yang juga bapa sembilan anak itu membuat pengakuan demikian di hadapan Hakim Rohaida Ishak.
Dia didakwa mengikut Seksyen 376B (1) Kanun keseksaan kerana melakukan perbuatan terlarang ke atas anak perempuan yang berusia 14 tahun empat bulan ketika kejadian di sebuah kampung di Lenggong pada November 2023.
Kesalahan itu memperuntukkan hukuman penjara tidak melebihi 30 tahun dan sebatan jika disabitkan.
Tertuduh juga didakwa mengikut Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017 dan dibaca bersama Seksyen 16(1) akta sama, kerana amang seksual di lokasi sama pada April lalu.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Firdaus Nor Azlan manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM30,000 dengan dua penjamin berserta syarat tambahan tidak dibenarkan mengganggu atau tinggal bersama mangsa.
Tarikh sebutan semula kes ditetapkan pada 6 Januari depan.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.